
Album: Jati Diri
Persembahan: Let Zapin
Produser: Glowrush / Faizal Tahir
Kedewasaan Faizal Tahir dalam meneroka segenap sudut muzik yang tidak terikat ilham Pop semata menjadikan dia sebagai pemuzik yang cukup besar harganya untuk kita sebagai pendengar. Bersama Faithful Music FT merencana kembara bermuziknya dengan tersendiri. Dia juga bersama batalion muziknya membentuk satu sound baru yang membesarkan landskap Pop tempatan.
“Qibla” menjadi album terakhir FT sebelum dia perlahan-lahan meneroka ilham muzik tradisi dalam persembahan lagu seperti “Darah Bangsa” sebelum bersambung kolaborasi genius bersama M. Nasir menerusi “Campak Bintang”. Pertemuan bersama Glowrush, menciptakan Let Zapin yang membentuk satu projek khusus manipulasi irama tradisi Melayu dengan sound baru dan kekinian.
Melayani album ini is such a fun journey buat saya. Persembahannya tidak kompleks, setiap melodi datang idea untuk menjerat pendengaran dengan sekali dengar – hal ini bertepatan dengan habit mendengar kebanyakan pendengar kita sekara. Short span attention. Jadi setiap lagu di album ini dihasilkan dengan singkat, cepat dan mengikat.
Dibuka dengan interlude “بوك ڤڠڬوڠ” yang berkesinambungan baik dengan lagu “Campak Bintang” yang terlebih dahulu beredar sebagai single. Monolog Tun Mahathir menerusi “Che Det” bergerak sebagai pengenalan tentang album ini saya kira. Objektif dan arah album ini dihasilkan sebelum diteruskan dengan “Darah Bangsa” yang juga sudah diedarkan lebih awal.
“اورڠ كامڤوڠ” (Faizal Tahir / Glowrush / Ja’a) datang dengan vibes yang lebih meriah – mencipta satu ambien yang lebih ringan menyeimbangi penghasilan album ini untuk bergerak lebih komersial. Saya pantas teringat pada penghasilan lagu-lagu rakyat oleh Sheqal yang banyak berlegar konsep begini. Korus lagu ini menjadi daya pengikat utama dengan infusi Dondang Sayang di tengah lagu menyatu sempurna ilham Joget yang dihasilkan. Perfect for raya juga lagu ini.
“مهاراني” (Mas Dewangga / Faizal Tahir / Glowrush / Jova Devito / Aydenking / Mambang) menjadi lebih menarik dan membuat saya mengulang dengar berkali-kali juga sebelum beralih ke trak seterusnya. Melodinya catchy dan kekuatan pada korusnya menjadikan “مهاراني” kecanduan. Momentum muzik yang bergerak penuh dinamik bergerak sebagai satu persembahan Pop nusantara yang sangat baik penghasilannya.
“سارڠ تبوان” (Faizal Tahir / Glowrush / Mage) meneruskan ilham lagu-lagu rakyat moden FT sebelum ini seperti “Ragaman”, “Santai” dan “Ok” – Ilham serupa diteruskan dalam persembahan lagu “جوڬيت منتول” (FT / Glowrush / Ja’a) dan “Bendera” (FT / Glowrush / Iqie Hugh / Hanis Rafi) sebelum ditutup dengan “توتوڤ ڤڠڬوڠ”
“Jati Diri” saya kira adalah FT current state of mind. Tentang apa yang mahu dia perjuangkan, apa yang dia mahu pendengar fahamkan. Hal-hal tanggungjawab yang berat disatukan dalam persembahan Pop ringan, mudah melekat dan menghiburkan. Let Zapin satu gerakan muzik yang harus bertumbuh untuk meneruskan kelangsungan perjuangan berteras lagu-lagu rakyat.
8.5/10
ARTIKEL BERKAITAN