Apalah muzik Melayu tanpa Balada, saban tahun berganti abad begitu jugalah yang kita raikan. Mungkin sudah sebati sehingga yang berganti hanya generasi dan terus dirai dalam muzik itu masih lagu-lagu yang meruntun hati.
Nama-nama besar dari era 80-an sehingga 90-a seperti Fauziah Latiff, Ella, Alleycats, Ramlah Ram juga M. Nasir mengisi katalog Pop tempatan dengan cemerlang bersama komposisi muzik daripada Adam Ahmad, Ahmad Nawab dan Adnan Abu Hassan antaranya.
Mengembalikan nostalgia Balada yang sudah berusi lebih tiga dekad lamanya, Muzik Kita meneroka katalog muzik saluran YouTube “Getaran Nostalgia” dalam beberapa lagu yang hayatnya sudah menjakau usia 30 tahun lamanya dan masih didengarkan sehingga hari ini.
DUA INSAN (YUNIZAR / M. NASIR)
Kalau bercerita tentang power Ballad di erra 80-an saya letakkan duet Yuniza bersama M. Nasir ini antara yang paling baik penghasilannya. Melodinya Baladanya cukup kuat jiwa Melayunya dengan produksi muzik yang ditinggikan standardnya dengan sentuhan emas M. Nasir. Seperti bait liriknya “Biar masa berganti masa” begitu juga hayat panjang lagu ini yang masih didendang sehingga ke hari ini.
SEKALI AKU JATUH CINTA (NASSIER WAHAB / AHMAD NAWAB)
Lagu cari makan Naasier Wahab ketika hayatnya masih ada ini membawa namanya sebagai salah seorang bakat Pop lelaki yang cukup dominan dengan rangkaian Balada. “Sekali Aku Jatuh Cinta” begitu dominan dalam kembara bermuziknya dan sehingga hari ini masih dinyanyikan dari pentas kecil bilik karaoke sehingga ke pentas besar pertandingan nyanyian.
CINTAKU HANYUT DI LAUTAN SEPI (RAMLAH RAM / AHMAD NAWAB)
Ramlah Ram sebagai Ratu Balada 80-an dengan rangkaian lagu-lagu ciptaan Ahmad Nawab dengan infusi muzik Dangdut dan Hindustan dalam lagu-lagu yang pernah dirakam menjadikan namanya memiliki pengikut tersendiri. Sehingga hari ini dan seterusnya “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu” juga sebuah lagi Balada menjerit “Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi” masih menjadi formula serupa yang dibawakan Aina Abdul antaranya. Jerita dalam nyanyian.
SEMBILU (ELLA / SAARI AMRI)
Ella menerusi “Sembilu” mencuri tumpuan setelah keluar daripada kepompong kompisisi Ramli Sarip di album-album awalnya. “Sembilu” membawa nama Ella cukup besar di era 90-an dan seterusnya. Sehingga hari ini “Sembilu” akan sentiasa dibawakan Ella dalam setiap persembahannya dan menjadi lagu yang akan terus dinantikan penggemarnya setiap kali berpentas.
LAYANG-LAYANG TERPUTUS TALINYA (ALLEYCATS / M. NASIR)
Komposisi puitis menyentuh M. Nasir menerusi “Layang-Layang Terputus Talinya”ini antara yang selayaknya diangkat sebagai salah satu Balada malar segar terbaik yang pernah dihasilkan sejak era 80-an. Melodinya syahdu dengan penulisan lirik M. Nasir. Selain beberapa Balada lain Alleycats seperti “Kerana”, “Sekuntum Mwar Merah” dan “Suara Kekasih” lagu ini juga cukup meninggalkan kesan.
GERIMIS SEMALAM (SHEILA MAJID / MAZLAN HAMZAH)
Balada mungkin bukan forte bermuzik Sheila Majid. Namun untuk bergerak dalam pasaran muzik tempatan, Balada itu harus juga diselitkan. Dan cara bagaimana untuk membentuk Balada Sheila Majid? Tentunya bukan dengan corak muzik Ramlah Ram. Maka dengan itu menerusi melodi Mazlan Hamzah dan lirik Habsah Hassan terhasil Balada yang dibentuk mengikut acuan vokal dan karakter Sheila Majid.
DIGAMIT MEMORI (FAUZIAH LATIFF / HAZUDIN)
Hadirnya suara halus, berkarakter manis dan berwajah lembut Fauziah Latiff di penghujung era 80-an menjadikan landskap Balada berubah sedikit daripada jerit-jeritan dan rintih-rintihan menjadi lebih subtle dan lembut. Fauziah Latiff setelah lagu ini meletakkan standard berbeza penghasilan Balada yang dia hasilkan sepanjang 90-an seperti “Bukan Kemahuan Fikiran” , “Tiada Noktah Cinta” dan “Teratai Layu di Tasik Madu” pastinya.
KASIH BERUBAH (FLYBAITS)
Flybaits muncul di tahun 1980 memberi infusi Balada yang lebih moden dan fresh tanpa terikat pada ilham mendayu-dayu. Lagu ini banyak dipengaruhi Balada yang ada di pasaran global ketika itu. Muziknya dirakam dengan instrumentasi yang lebih grand dan sehingga hari ini masih deperdengarkan. Pernah dirakam Ferhad di tahun 2000 dengan feel R&B yang cukup meninggikan standard lagu ini.
TERATAI LAYU DI TASIK MADU (FAUZIAH LATIFF / ADAM AHMAD)
Berusia genap tiga dekad tahun ini, “Teratai Layu di Tasik Madu” menjadi lagu terbaik dalam mentafsir perjalanan cemerlang Fauziah Latiff sebagai seorang penyanyi Balada terhormat sehingga hari ini. Komposisi muziknya timeless dan kemerduan yang ada pada Jee dalam menyampaikan lagu ini tidak tertara dengan mana-mana penyanyi pun.
ARTIKEL BERKAITAN