Album: Demi (1996)
Artis: Ella
Produser: Kyoji Yamamato / Ella
Ketika Ella merilis album rakaman langsung dan kompilasi di tahun 1996 ini saya masih di bangku sekolah rendah dan mendengarkan lagu “Demi” (M.Nasir / Eric Moon / Ella / Loloq) ia menjadi satu turning point buat saya yang sering terdedah dengan Pop Melayu. Muzik begini yang saya begitu mahu dengar dan jujur saya terlalu suka dengan lagu “Demi” yang menjadi lagu yang begitu saya ulang dengar sepanjang proses membesar.
Ella menerusi album ini mengumpulkan 11 lagu terbaik yang pernah dirakam sepanjang dia bermuzik sejak 80-an. Beberapa lagu rakaman langsung konsert “Ella Ten Years” yang diadakan pada tahun 1995 itu saya kira kemuncak karier muzik Ella yang akan diingati bukan sahaja penggemarnya tapi juga antara momen penting kembara muzik tempatan.
Album ini menampilkan antaranya lagu-lagu personal favorite saya iaitu “Cinta Selembut Sutera” (M.Nasir) yang dimedleykan bersama “Aku, Kau, Dia” dan “Esok, Lusa Selamanya”. Juga sebuah lagi rakaman live yang saya masih dengar sehingga hari ini adalah “Rindu” yang dimuatkan dalam album “Ella U.S.A”.
Album konsert ini antara yang menampilkan otai-otai hebat industri muzik seperti Jennifer Thompson yang bertindak sebagai kordinator konsert, dijuruterakan oleh Peter Chong (Wings, Hattan, Nora) dengan proses produksi di studio legend, King Studio PJ menghasilkan sound yang cukup solid, clear tanpa gangguan noise pada rakaman livenya.
Ella meletakkan rangkaian lagu-lagu yang saya pasti adalah kegemaran peribadinya. Lagu-lagu di album ini bukanlah yang begitu hits tetapi saya kira cukup mentafsir sound Ella yang lebih moden dalam definisi Rock yang dibawa.
Pemilihan lagu seperti “Menanti”, “Rindu” dan “Gemilang” menjadi satu arah jelas dalam muzik Ella yang ternyata lebih tastefully produced. Bukanlah menidakkan apa yang sudah dilakukan dalam Balada Rock seperti “Sepi Sekuntum Mawar Merah” itu tidak bagus tetapi Ella menawarkan sesuatu yang lebih fresh dan forward menerusi lagu-lagu ini.
Setelah lebih 20 tahun beredar, “Demi” masih lagi menjadi album favorite saya daripada Ella yang boleh saya mainkan pada bila-bila masa. Penghasilannya sangat baik dan cukup timeless. Mendengar rangkaian lagu di album ini tidak terasa tua usianya malah boleh saya katakan lebih baik daripada apa yang ada di carta muzik hari ini.
Album ini saya kira sangat dekat dengan penghasilan album Sheila Majid “Gemilang” yang merupakan intro kepada album “Ratu” dan “Demi” bergerak sebagai sebuah siren untuk pendengar bersiap sedia dengan sound baru Ella yang seterusnya diterjermah cemerlang menerusi album “EL” (1998).
Ella saya kira sudah menjadi living legend yang cukup dihormai sehingga hari ini. Rangkaian lagu-lagunya sudah bertaraf malar segar yang pasti akan didengar generasi berganti generasi tanpa ada putusnya. Sepertimana P.Ramlee, Sudirman juga Sharifah Aini.
Kesemua lagu-lagu yang dimuatkan di album ini boleh dinikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”
ARTIKEL BERKAITAN