
Lagu: Debu
Artis: Dayang Nurfaizah & Amir Masdi
Komposer / Lirik: Mas Dewangga / Mike Chan / Karim Karam / Jova Devito / Firdaus Rahmat / Acap Salim
Produser: Mike Chan / Mas Dewangga / Jova Devito
Keterujaan melewati pasaran Pop tempatan saya kira banyak diberi evolusi oleh label Faithful Music yang sentiasa mencabar pendengar kita dengan sound baru yang tidak jauh lari daripada apa yang ada di pasaran global.
Hal-hal ini saya kira terjadi juga kerana keterbukaan mereka yang mengemudi Faithful Music untuk bekerjasama dengan bakat baru dalam penciptaan lagu yang membesarkan nama-nama seperti Mas Dewangga, Firdaus Rahmat yang sebelum ini banyak bekerja dengan Faizal Tahir khususnya.
Juga nama-nama di Faithful sendiri seperti Karim Karam, Adib Husin, John Jeeves dan beberapa nama lain bersama mastermind, Mike Chan sudah menghasilkan rangkaian Pop yang cukup current penghasilannya.
Maka lahirlah lagu-lagu cukup hebat penghasilannya seperti X Missing U, Noody, Sad To Cry, I Want You To Love Me, Nobody dan Hello Goodbye antaranya. Terhasil cukup segar, moden dan forward. Kemasan muzik yang bermain dengan efek juga sound baru yang dicipta memberi nilai tambah dalam meninggikan standard Pop tempatan.
Dan meneruskan lagi kelangsungan Pop cukup moden begini Faithful Music kali ini bersama Nova Music menghadirkan kejutan manis, kolaborasi Dayang Nurfaizah yang semakin evolve dalam bermuzik biar lebih 2 dekad usia kariernya, bersama Amir Masdi menerusi sebuah lagu berjudul “DEBU” yang beredar pada tarikh 22.2.22 yang lalu.
Lagu ini terhasil daripada ilham kreatif enam penulis yang menyatukan dua suara menjadi sebuah naskhah Pop terbaik yang harus menjadi rujukan pemuzik dan penyanyi lain di luar sana.
Tembok standard Pop tempatan dirobohkan menerusi lagu ini dengan menghasilkan sesuatu yang di luar kotak. Banyak hal menarik di lagu ini yang begitu mencuri perhatian. Peralihan verse ke pre-chorus dalam tempo drastik dan non linear structure dalam pembahagian part Dayang dan Amir menciptakan pengalaman berbeza mendengarkan lagu-lagu tempatan.
Jika di pasaran luar saya kira hal ini sudah biasa dan banyak dihasilkan produser muzik seperti Tommy Brown, Bernad Harvey dan Trey Campbell antaranya. Dan ilham menarik ini sudah diadaptasi Mike Chan bersama Mas Dewangga dan Jova Devito menerusi “DEBU” dengan jayanya.
Vokal Dayang dan Amir menyatu sangat baik tanpa perlu terlalu mencuba hal-hal aneh atau show-off skil yang tak perlu. Cukup kemas, dirasai dan melengkapi.
Mungkin jika ada perkara yang saya kurang gemar tentang penghasilan lagu ini adalah penggunaan perkataan “Rentung” yang mungkin agak kedengaran canggung (pada saya). Gantian terbaik mungkin “Hancur” tapi mungkin ia agak klise jadi mungkin boleh guna “Lebur”.
Namun ia tidaklah memberi kesan terhadap keseluruhan penulisannya. Lirik lagu ini masih baik dan matang, terhasil dalam penceritaan yang dipatahkan peralihannya bagi menyantuni melodi dan kemasan muziknya.
This a good Pop, kita perlukan lebih tenaga kreatif seperti Mas Dewangga, Mike Chan, Karim Karam, Jova Devito, Firdaus Rahmat dan Acap Salim untuk terus meninggikan standard Pop tempatan.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN