
Saya jarang sangat boleh melewati album Danilla secara terus dan penuh. Seringnya gagal di pertengahan, mungkin terlalu berat untuk pendengar Pop seperti saya bertahan sehingga ke hujung. Namun untuk melayani “Terpaut Oleh Waktu” sekali sekala untuk melayang dengan ruang rasa muziknya itu satu pengalaman yang menarik untuk dinikmati.
Pautan Jazz dalam nada-nada yang ditulis dalam persembahan melodi keseluruhan lagu-lagu Danilla membuat dia antara penyanyi yang khusus sifatnya. Antara anda suka atau tidak itu hal subjektif namun untuk menidakkan dia hebat dalam penghasilan muzik itu sesuatu yang mustahil.
Album ketiga Danilla berjudul “Pop Seblay” beredar dengan rasa berbeza. Saya melewati album ini dengan sangat senang sekali. Muziknya lebih mudah meresap, mewujudkan sesuatu yang cukup komersial sekali penghasilannya.
Jazz, Synth dan Bossa di album ini menyatu cukup baik sekali. Melodi Danilla lebih catchy dan memikat. Hal-hal ini saya dapat seawal “Pop Seblay” dibuka dengan lagu “kudikan” dan “MPV” yang lebih mesra pendengaran. Danilla membuka “MPV” dengan sangat memikat sekali – bait monolog “Halo, assalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saya Danilla Riyadi, Umur saya tergantung kalian dengar ini di tahun berapa.” Memberikan sisi witty Danilla yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.
Hal ini diteruskan dalam lagu “Berat Badan” dengan sound synth ala permainan video yang membuka intro lagu ini sebelum menjadi begitu Jazz sekali transisinya. “Katanya lebih cantik tanpa dagu dua, Katanya lebih menarik yang tak ringan.” Isu-isu dalam penulisan liriknya semakin menyenangkan, fun dan relatable dengan banyak orang. Ini antara personal favorit saya di album ini.
Danilla menjadi lebih fun di track “KIW”. Terhasil dalam penulisan lirik yang sangat witty dan menghiburkan sekali dalam kemasan muzik yang cukup sophisticated. “Jadi teringat malam itu, aku “kiw-kiw” saja”. Sebelum disambung “Aku maunya itu kamu, apa kamu mau juga?”. Dia turut mengundang Teddy Adhitya menerusi “Fel d 1” sebuah track soulfull yang menyatukan dua jiwa dalam sebuah naskhah muzik yang mengkhayalkan.
Mendengarkan album ini saya tidak pernah menyangka Danilla memiliki sisi begini. Sifat muziknya masih Danilla tetapi ramuannya itu diadun dalam cerita-cerita yang lebih fun, muda dan cukup menghiburkan. Dia menjadi sensual di lagu “Di Mana” dengan pengaruh muzik yang sangat mengingatkan saya pada komposisi dan produksi muzik Sade.
Menerusi “Pop Seblay” Danilla membuat saya semakin senang dengan muziknya. Banyak lagu yang saya ulang dengar dan kali ini saya mampu menghasbiskan keseluruhan album dengan hati yang senang dan terbuka sekali. A very rare yet beautiful album.
8.9/10
ARTIKEL BERKAITAN
S/EEK Mengembalikan Ermy Kullit Lewat Single “Melodi Asmara”