
Penyanyi: Camelia
Album: Memori (1999)
Penerbit: Ahmad Izham Omar / Illegal / Mac Chew / Kenny Tay / Azlan Abu Hassan / Adnan Abu Hassan
Di pertengahan 90-an sehingga awal 2000 satu gagasan muzik urban aktif digerakkan nama-nama seperti Ahmad Izham Omar, Paul Moss, Roslan Aziz, Illegal, Jari, Haze, Eka Sheeren, Azlan Abu Hassan, Boon Tan, KRU dan Innuendo dalam penghasilan muzik Pop yang lebih citarasanya ke arah R&B yang diterbitkan dengan cukup hebat sekali.
Album-album seperti Anuar Zain(1998), Innuendo (1997), Ning Baizura (Teguh), Liza Aziz (Hati Ini), Dayang Nurfaizah (SMAC), Sheila Majid (Ratu) dan beberapa lagi menjadi antara album penting sepanjang sejarah muzik tempatan.
Camelia antara solo wanita yang tampil cukup tersendiri dengan ciri khas vokalnya yang tersendiri. Debut self-titled yang beredar skitar 1998 dengan hits “Rindu Padanya” dan “Dengarlah Kasih” meletakkan nama Camelia yang pastinya akan diingati sehingga hari ini kerana kemenangan besarnya di Anugerah Industri Muzik 1999 dengan dua trofi paling direbut ketika itu Artis Baru Wanita Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik (Dalam Album).
Setelah kejayaan debut terbitan Adnan Abu Hassan yang turut menampilkan beberapa ciptaan lagu Azlan Abu Hassan, Camelia dengan pengurusan Universal Music ketika itu merangka album keduanya dengan cukup kemas dan ikonik.
Maka di tahun 1999 terlahirlah sebuah album yang diberi judul “Memori” yang pastinya menampilkan hits malar segar “Akhirnya” kolaborasi istimewa bersama Innuendo.
“Memori” tampil solid sebagai sebuah album Pop R&B yang cukup kemas penerbitannya. Dengan nama-nama besar lapangan muzik R&B Pop seperti Ahmad Izham Omar, Kenny Tay, Azlan Abu Hassan, Jenny Chin, Mac Chew dan sebuah balada Adnan Abu Hassan menghasilkan sebuah album Pop yang cukup ramuannya.
Camelia menerusi “Memori” menajamkan skil nyanyiannya yang cukup tersendiri dan saya kira sehingga hari ini belum ada keunikan yang sebegini terhasil. Album ini dibuka dengan balada “Pisah” yang meneruskan esen muzik album perdananya.
Namun pendengaran saya sudah tentu saja teralih pada remake “Suratan Atau Kebetulan” yang cukup disusun cukup original Ahmad Izham Omar bersama Illegal. Versi ini saya kira antara remake terbaik dalam sejarah rakaman ulang tempatan.
“Akhirnya” merupakan anthem album ini yang perancangan awalnya sebuah kolaborasi Camelia bersama Sheila Majid namun menggantikan Innuendo ternyata bukan sebuah keputusan yang salah. Single ini cukup asli penciptaannya dan sehingga hari ini saya kira belum ada mana-mana ballad pada feel R&B yang sebaik ini. Dan tidak salah juga saya sifatkan ini sebagai sebuah kolaborasi genius daripada penghasilan melodi Ahmad Izham bersama Kenny Tay dan Pot, lirik Riza Kamaruzzaman sehinggalah gabungan vokal harmoni Camelia dan Innuendo.

Beberapa trak groove dalam album ini seperti Janjiku (Kenny Tay), Insan Di Kota (Azlan Abu Hassan), Hidupku Masih Bererti (Lady D) dan Erti Kehiudpan (Odie Agam) melengkapkan “Memori” sebagai sebuah journey muzik yang cukup baik. “Hidupku Masih Bererti” saya kira meletakkan standard album ini lebih tinggi lagi. Sedikir trivia, lagu ini asalnya dicipta untuk Sheila Majid naum ditolak pihak pengurusan.
Dan sekali lagi Azlan Abu Hassan membuat saya melayang dengan “Ku Izinkan Kasih” big ballad yang menyerlahkan merdunya vokal Camelia sebagai penyanyi wanita tempatan yang akan sentiasa diingati.
Album ini tampil sebagai sebuah produk muzik yang saya kira cukup membuatkan muzik tempatan berada di satu tahap yang cukup baik sebelum kita semakin larut kembali menikmati Balada mendayu Saari Amri dan Eddie Hamid seperti sekarang.
Entah jika ada atau tidak agaknya, naskhah hebat seperti Memori, dua album awal Anuar Zain, Liza Aziz, Innuendo dan Dayang Nurfaizah mampu kembali memikat pendengaran tempatan. Jika tidak saya kira, album-album ini sudah mampu menjadi harta berharga pasaran muzik Malaysia.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN