
Tampil solo pasca Kristal dalam single “Berpisah Tanpa Rela” tahun lalu, Lan Solo tampil segar dalam ilham modern twist dalam lagu ciptaannya sendiri berjudul “Twist Abang Sayang” dan nukilan lirik oleh Rozi Sang Dewi.
“Saya telah merancang perjalanan seni saya bagi sepanjang tahun 2019. Oleh itu, bagi memulakan pengembaraan selama setahun ini saya mulakan dengan menghadiahkan sebuah single terbaharu buat peminat.”
“Lagu ini jauh daripada kebiasaan saya iaitu irama twist. Sengaja saya hadir dengan irama ini bagi membangkitkan suasana ceria dan happening di tahun baharu. Semoga aura positif ini dapat membangkitkan mood yang baik-baik sahaja buat kita semua,” ujar Lan.
Tambah Lan yang kini semakin aktif mencipta lagu, idea untuk menghasilkan Twist Abang Sayang ini adalah idea bersama team yang ingin melihat Lan Solo mencuba sesuatu yang lebih fresh dan santai serta mudah untuk diterima ramai.
“Saya mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk menyiapkan lagu ini sepenuhnya sehinggalah ia dilancarkan pada tarikh 9119.
“Saya memilih 9119 kerana antara pilihan susunan nombor yang cantik dan mungkin ia akan memberikan susunan yang baik juga dalam perjalanan karier.
“Selain itu bersempena dengan showcase pertama saya yang juga akan diadakan pada 2 Mac 2019 di Matic Kuala Lumpur. Lagu ini juga antara salah satu langkah promosi untuk menguar-uarkan tentang showcase tersebut,”katanya.
Oleh itu besar harapan Lan agar lagu ini dapat diterima dan tidak dilupakan agar peminat dapat hadir untuk bersama-samanya dalam showcase Lan Solo Next Level nanti.