
Lagu: Hanya Mahukan Bye
Artis: Aziz Harun
Komposer / Lirik: Faizal Tahir / Mike Chan / Romeo
Produser: Mike Chan
Kembara bermuzik Aziz berjalan setahun dua ini dengan penerbitan single demi single, dia melangkah yakin dengan kraf muzik Pop yang cukup current – sesuai usia mudanya tanpa perlu menjadi leman.
Setelah “Kan” dan kolaborasi bersama Alam D menerusi “Kita” yang beredar tahun ini, Aziz sekali lagi bersama batalion muzik di Faithful Music menghasilkan sebuah lagi single Pop yang cukup solid.
“Hanya Mahukan Bye” memberi momentum berbeza muzik Aziz yang seringnya datang dengan ilham lembut Akustik Pop yang syahdu dan melayang.
Kali ini dia tampil dengan tenaga baru dalam kemasan muzik Mike Chan bersama Romeo dan Faizal Tahir membentuk landskap Pop Aziz kali ini lebih berubah warna tetapi masih dalam konteks Pop Aziz yang mahu kita relate.
Lagu ini seperti biasa mengikat pendengaran dengan sekali sahaja tanpa perlu terlalu dipaksa-paksa. Kisah dalam lagu yang mahu melepaskan dan dilepaskan diceritakan Aziz dengan kemas.
“Raga yang bertemu // Tak harus bersatu // Ku sedari bintang mu terlalu cerah tuk malamku.” Korus awal lagu ini killer sebenar yang mampu membuat pendengaran kita terikat “I‘m too good at telling lies // Hanya mahukan bye // Too good at telling lies // Good bye bye bye.”
Faithful Music saya kira sehingga hari ini sudah melunaskan tanggungjawab yang baik meninggikan standard Pop tempatan ke tahap yang sangat membanggakan. Lagu ini pastinya akan tersemat sebagai satu daripada yang terbaik pernah mereka hasilkan setelah “XMissingU”, “Nobody”, “Goodbye, Hello”, “Debu”, “Kau Sakiti”, “Ratu” dan “I Want You To Love Me”.
7/10
ARTIKEL BERKAITAN
Dilarut Sepi & Hiba Lewat “Hilang” Persembahan Terbaru Kaka Azraff