
Lagu: Akhir Cerita
Artis: Aziz Harun & Dalia Farhana
Komposer / Lirik: Eugene Lai / Aziz Harun / Dalia Farhana
Produser: Eugene Lai
Dalia Farhana dan Aziz Harun sudah membuktikan bahawa Soft Pop itu juga mampu mengusik jiwa pendengar tanpa perlu terlalu beremosi dengan melodi Balada yang kompleks. Hal ini sudah jelas di lagu-lagu seperti “Jauh”, “Sayang Kau Tercipta” dan “Langit Yang Sama” yang sudah mencuri perhatian jutaan jiwa-jiwa galau.
Begitulah berubahnya landskap Pop tempatan yang saya kira ia satu kitaran yang menarik untuk diperhatikan penggemar muzik tempatan khususnya. Melodi yang simple dengan penulisan lirik yang puitis dan mudah difahami terbentuk sebagai wakil perasaan jiwa-jiwa kecil yang mahu didengar rontanya.
Maka dengan itu jugalah “Langit Yang Sama” menjadi antara karya Pop yang cukup berjaya diraikan sepanjang tahun ini. Dan meneruskan kelangsungan ilham Soft Pop kedua-dua bakat muda ini, kolaborasi “Akhir Cerita” dijadikan percaturan dalam mengikat terus pendengaran penggemar muzik hari ini.
Siap dihasilkan dalam sebuah persembahan muzik yang disenangi, mellow dan puitis. “Akhir Cerita” karya bersama Aziz, Dalia dan Eugene Lai dibuka dengan vokal Aziz yang lembut bercerita sebelum dibalas kesederhanaan Dalia dalam persembahan yang soothing.
Lagu ini dihasilkan sebagai wakilan suara jiwa-jiwa yang mahukan didengar. Tentang kekecewaan, harapan dan penyerahan. “Mungkin ku bukan terbaik // Dan mungkin ku bukan jalan // Jadi carilah yang terbaik // Kerna aku bukan harapan.” menjadi kunci mengikat pendengar terikat dengan lagu ini. Penulisannya simple tetapi puitis dan real. Korus lagu ini menjadi killer utama.
Vokal Aziz dan Dalia is a perfect match. Kedua-duanya saling melengkapi dan membaluti baik melodi yang terhasil. Lembut, menyentuh dan membuai – perasaannya mengalir setenang air dengan kesederhanaan yang sangat dituntut dalam memberi justifikasi pada melodi seperti ini.
Mendengarkan “Akhir Cerita” buat saya seronok melihat bagaimana anak-anak muda bermuzik hari ini menghasilkan karya-karya mereka dan pada masa yang sama melawan klise Balada harus diiring nada tinggi untuk kita rasa sedihnya.
Dan hal ini dibuktikan sebaiknya Aziz dan Dalia dalam lagu-lagu mereka. Setelah “Mengapa Harus Begini” dan “Langit Yang Sama” saya letakkan “Akhir Cerita” sebagai lagu terbaik yang mereka berdua pernah hasilkan sehingga hari ini.
9/10
*Gambar Dalia & Aziz daripada Budiey
ARTIKEL BERKAITAN