
Ayai bergerak solo setelah fasa bersama kumpulan Illusi yang cukup aktif di penghujung 80-an sehingga album terakhir mereka beredar pada tahun 1993. Bersama syarikat rakaman EMI yang ketika itu menggerakkan Ayai sebagai percaturan solo, maka terhasil sebuah album berjudul “Ilusi” yang diisi 10 lagu dalam nuansa Pop dan Rock.
Ilham serupa yang sebetulnya sedang cukup dominan dibawakan M.Nasir dan Hattan ketika itu selain Saleem yang bersama Iklim yang juga sedang booming di Malaysia juga Indonesia. Maka percaturan EMI ketika itu menghadirkan Ayai secara solo agak sukar sebetulnya untuk melawan nama-nama besar ini.
Namun itu tidaklah membuatkan percaturan ini gagal sepenuhnya. Ayai cemerlang dalam membuat penggemar muzik tempatan menoleh dengan kebolehannya bergerak solo menerusi kemunculan album perdana pada tahun 1995 dengan mengangkat judul “Illusi”.
“Lamunan” (Fauzi Marzuki / Nurul Nadzir) menjadi pertaruhan utama album ini. Komposisi muzik Fauzi Marzuki di lagu ini seingat saya sempat mendapat air play dan memasuki carta muzik ketika diedarkan. Namun impaknya tidaklah begitu hebat meskipun menurut saya lagu ini memiliki struktur muzik yang cukup unik dan berbeza untuk mendapat lebih perhatian.
Album ini dibuka dengan lagu “Imbasan” sebuah lagi ciptaan Fauzi Marzuki dengan lirik hebat Habsah Hassan yang menjadi sistem sokongan terbaik untuk lagu ini. Penulisan liriknya terhasil dengan susunan bahasa yang cukup cantik diselang-seli dengan persoalan yang bertulis “Bolehkah semalam yang hitam menjanjikan esok yang terang?.
“Dari Hati” menjadi sebuah lagi lagu yang menarik penghasilannya. Melodi ciptaan M.Nasir ini dekat dengan ilham Balada yang banyak ditulisnya namun masih berbisa dan tidak membuatkan kita bosan mendengarkannya. Suara Ayai benar-benar masuk dengan melodi begini. Feel nya sangat baik terutama di bahagian korus.
Lagu “Puteri” (Adi Jagat / Habsah Hassan) dan “Terikat” (Fauzi Marzuki / Lukhman S) terhasil dalam ilham serupa. Melodinya agak mendatar dan tidaklah begitu memberi kelebihan pada vokal Ayai. Penciptaan melodinya cukup kuat teras Balada 90-an yang cukup banyak di pasaran muzik ketika itu yang kada kedengaran seperti beberapa lagu lain yang siap diedar.
Namun “Terikat” masih sedap didengar cuma liriknya sahaja yang saya kira agak lemah. Cerita harta dan darjat dalam percintaan yang terlalu klise. “Kerana Kesumatmu” ciptaan M.Nasir juga tidak memiliki apa-apa kelebihan untuk didengarkan. Korusnya sahaj sudah buat saya bosan dengan penghasilannya.
Ayai menerusi album ini saya kira bergerak sebagai sebuah percaturan yang tidak mengena. Banyak lagu yang dihasilkan terlalu sama dan tidak bervariasi sekadar mengisi tuntutan sebuah album sahaja.
ARTIKEL BERKAITAN
Retrospektif Muzik: “Kembali Merindu” (1996) Sebagai Album Terbaik Slam