
Lagu: Cinta Sampai Mati
Artis: Atilia
Komposer / Lirik: Choky Nainggolan
Produser: Choky Nainggolan
Perjalanan bermuzik Atilia sinonim dengan jaluran muzik Jazz yang pasarannya mungkin masih kecil di sini untuk membenarkan bakat muziknya diraikan dalam skala besar. Namun jika diteliti di setiap penghasilan album-albumnya, Atilia masih memiliki rangkaian Balada sebetulnya.
Lagu-lagu seperti “Terindah Pilihanku”, “Leka”, “Segalanya” dan “Kurnia Syurgawi” antara yang menjadi pengisian dua albumnya “Indah” dan “No. 3” berbanding album perdananya “Sangkar” yang solid sound Jazz. Namun Balada bukanlah menjadi focus track di setiap albumnya..
Biar sangat sibuk dengan fokus Yoga yang menjadi sumber kelangsungan hidupnya, Atilia tidaklah terus melupakan muzik, sering ada persembahan pentas korporat biar tanpa lagu-lagu baru. Dan mungkin juga dengan pasaran muzik tempatan yang semakin meraikan wajah dan bunyi yang serupa membuatkan dia harus mencari tahu apa yang penggemar muzik mahukan selain terus melakukan apa yang dia suka.
Maka dengan itu lahirlah naskhah terbaru “Cinta Sampai Mati” yang dihasilkan jauh meninggalkan sound “Sangkar”, “Indah” dan “Bahagiaku” yang lebih Jazz sifatnya. “Cinta Sampai Mati” datang dalam ilham Balada dengan feel galau yang membaluti keseluruhan lagu.
Dan ia benar-benar memberi pengalaman baru menikmati muzik Atilia. Lagu Balada begini begitu memberikan kelebihan buatnya menyerlahkan sisi berbeza yang ada padanya. Rasa yang diberikan secukupnya untuk kita sebagai pendengar tersentuh dalam kesederhanaan Atilia menyampaikan lagu ini.
Korus di lagu ini menjadi nyawa untuk kita benar-benar larut dalam persembahan Atilia. “Cinta ini // Cinta sampai mati // Sampai ku tak sanggup lagi // Menarik nafasku nanti”. Lagu ini memiliki template Balada galau yang banyak di Indonesia dan saya kira ia pertaruhan terbaik Atilia untuk dia mencuri perhatian pendengar muzik semasa yang lebih muda dan sukakan lagu-lagu begini.
“Cinta Sampai Mati” ada potensi besar untuk popular. Melodinya sedap, mengikat pada pendengaran pertama dan kemasan muziknya sangat baik. Mungkin tidak salah saya sifatkan lagu ini sebagai lagu paling komersil yang pernah Atilia hasilkan sepanjang karier bermuziknya.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN