
EP: Selamat Hari Raya 1936
Persembahan: Asmidar
Gubahan Muzik: Rafi Mohd.
Sebagai penggemar suara Asmidar saya memang sentiasa menantikan pertaruhan lagu-lagu terbarunya dalam nuansa Klasik dan Melayu Asli terutamanya. Sejak rakaman ulang “Sireh Pinang” dan projek Keronchong Bilek Ayer saya sangat mahukan Asmidar terus berkarya dalam sound sebegitu. Sound yang memberi kelebihan untuk Asmidar bergerak dengan tersendiri tanpa terikat kehendak pasaran semasa.
Namun percaturan menjadi penyanyi di Malaysia (wanita terutamanya) haruslah beriring ilham Balada dan Asmidar tidak juga gagal seluruhnya dalam menghasilkan Balada. Banyak lagu-lagu Balada yang dia hasilkan sudah mengikut kehendak pasaran muzik antara yang paling saya gemarkan adalah “Memoir Rindu”.
Berbalik pada pemasaran lagu-lagu tradisi raya khususnya, Asmidar beberapa tahun lalu merilis sebuah kolaborasi bersama Aizat Amdan menerusi “Raya Janji Happy” yang mengambil ilham Keroncong raya yang terhasil cukup klasik. Tidak salah juga jika saya sifatkan ia antara lagu raya baru yang cukup sedap dihasilkan.
Tahun ini Asmidar tampil lebih menarik dengan EP dua lagu rakaman semula yang tidak hanya menampilkan suara merdunya tetapi turut membawa ahli keluarga dalam meraikan sambutan hari raya tahun ini dalam lagu. “Selamat Hari Raya 1936” ciptaan Tengku Alibasha yang dikatakan sebagai lagu raya pertama seumpamanya pernah dihasilkan diberi nafas baru oleh Asmidar bersama gubahan muzik Rafi Mohd.
Masih mengekalkan feel serupa tanpa mengubah struktur asal, lagu ini bergerak penuh nostalgia. Saya begitu enjoy mendengarkan suara-suara yang tidak pernah diperdengarkan. Awalnya saya menebak adanya Haziq dan penyanyi lama lainnya. Namun menurut Asmidar ini adalah kolaborasi suara keluarganya sendiri.
Sebuah lagi lagu rakaman ulang di EP ini adalah “Minal Aidil Wal Faizin” yang biasa saya dengar di versi Deredia ciptaan Ismail Marzuki yang lebih awal dirakamkan Lima Seirama. Menerusi versi Asmidar dia memberikan vibes serupa dengan persembahan vokal yang penuh attitude dalam memberi justifikasi sempurna pada lagu ini.
Asmidar menerusi EP dua lagu raya ini cukup membuatkan saya fikir dia sudah sangat bersedia memiliki album Malayu Asli dan Klasik dengan infusi baru. Hal ini sudah dia hasilkan dan buktikan menerusi “Keroncong Biar Sampai Ke Bintang” dan kolaborasi bersama “Kita Jumpa Lagi” bersama Ahmadul Amin yang sudah saya ulaskan di sini. Dua lagu yang sempurna membuat saya puas dengan persembahan vokal Asmidar. Semoga beriring sebuah album atau EP empat atau lima lagu tahun ini daripadanya.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN