
Pertaruhan Warner Music dalam merencana karier muzik Andi Bernadee dalam satu acuan muzik moden dan terkini bagi saya cukup menjadi sekali. Setelah berjaya dengan single “Satu Peluang” karya cipta Alif, Andi kembali melangkah terus dengan rencana karier muziknya tahun ini menerusi “Donde”.
Satu Peluang yang beredar tahun lalu sudah distrim hampir 2.5 Juta di Spotify dan muzik video rasminya ditonton lebih 14 Juta di YouTube. Gelombang muzik Andi dalam menakluk pasaran muzik tempatan beriring percaturan yang cukup tepat dan bercitarasa.
Di saat bakat seperjuangannya memilih untuk terus mempertaruhkan balada, Warner Music merencana karier muzik Andi ke satu arah yang lebih berkelas, moden dan terkini.
Percubaan perdananya menerusi single “Tiada Lagi Maaf” yang beredar pada tahun 2017 tidak begitu menjadi dan hal itu sudah boleh di predict dengan formula muzik berulang dan serupa. Peluang Andi ke pentas Big Stage saya kira berjaya mengeluarkan segala apa yang dia ada untuk di ketengahkan.
Dan memilih Alif untuk produce lagu-lagunya membuat Andi berada di legasi yang lebih cerah masa depannya. Siap dirilis di semua gedung muzik digital, “Donde” sekali lagi meneruskan ilham latin dan pesona raggaeton dalam penghasilan melodinya yang cukup catchy.
“Donde” yang membawa maksud “Di Mana” dalam bahasa Sepanyol bagi saya sudah siap sebagai sebuah Pop yang boleh dibanggakan. Tanpa perlu gimik yang entah apa-apa Andi hadir sebagai bakat pelapis yang boleh dikembangkan jika percaturan begini diteruskan dengan rencana karier yang lebih kemas.