
Lagu: Skali Lagi
Artis: ALYPH
Komposer / Lirik: ALYPH
Produser: Magic Potions
Kembara muzik ALYPH bergerak cukup matang beriring usianya bermuzik. Sejak merilis “Adakah Kau Mendengar” tahun lalu, karya-karya terbarunya akan sentiasa dinantikan, diberi perhatian dan menjadi bahan rujukan saya kira buat pemuzik-pemuzik muda mengatur jejak sepertinya.
Terkini, ALYPH merilis EP 3 Lagu berjudul “III/III” dengan rangkaian lagu “Adakah Kau Mendengar” , “Show Me Colors” dan pertaruhan terbaiknya menerusi EP ini dengan judul “SKALI LAGI”. Bergerak dalam satu jaluran muzik yang cukup kuat sifat “ALPYH” di dalamnya terisi sebagai sebuah naskhah Hip-Hop yang cukup matang.
ALYPH menerusi “SKALI LAGI” berbicara dengan dirinya soal bahagia, kecewa dan susah senangnya bersama siapa yang setia dan siapa yang meninggalkan dalam transisi hidupnya. Hal-hal ini sangat jelas ditulis bait “Siapa ada, bila masa, engkau sesak? Ingat ke tak, berapa ramai, orang lesap?”
Hasil kerja ALYPH di lagu ini saya kira terhasil cukup teliti dan sophisticated, dia bijak menyusun penciptaan melodinya dalam satu standard muzik yang bersifat tersendiri seiring apa yang ada di pasaran global. Momentum muzik di lagu ini sangat dirasai di penghujung lagu di saat koir mengiringi kemasan muziknya yang cukup dasyat penghasilannya.
Semuanya terhasil dengan cukup kemas dan berkelas sekali. ALYPH bergerak sebagai pemuzik yang tahu hala tujunya dan dia tahu bagaimana mahu merencana muziknya dengan cara yang terbaik agar ia tidak kedengaran biasa-biasa sahaja. Lagu ini tidak hanya bergerak sebagai sebuah naskhah komersil tetapi seimbang dengan estetika kerja bermuzik ALYPH sendiri.
Mendengarkan “SKALI LAGI” saya pasti ia tidak dihasilkan dengan proses yang mudah dan cepat kerana ketelitian dalam hasil kerja lagu ini sangat dapat kita rasai dan nikmati dengan penuh kepuasan. Dan saya kira itulah magis seorang ALYPH yang bekerja telus dari jiwanya tanpa perlu terburu waktu.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN
Gerakan Jazz Fairuz Hussein Diteruskan Menerusi Single “Antara Seribu”