
Pasaran muzik indie tempatan tidak pernah lekang dengan bakat yang sentiasa hadir dengan naskhah muzik yang cukup eksperimental dan ke hadapan. Gerakan muzik underground (terma yang diguna di era 90-an) ini bergerak semakin bebas dan lepas dalam era digital.
Hasil setiap satunya jika didengar dan diteliti benar-benar mampu berdiri seiring naskhah komersial yang ada di pasaran semasa. Cuma kerana gerakan mereka secara sendiri maka capaian muzik bakat-bakat indie ini tidak meluas dan tersekat pada golongan tertentu sahaja.
Bagi mereka yang suka dicabar dengan bunyi-bunyian baru dan keluar daripada kepompong skema muzik tersedia pasti akan lebih terbuka mendengar dan menikmati muzik begini. Maka dengan adanya Anugerah Lagu Indie yang dianjurkan pertama kali tahun lalu memberi ruang untuk pendengar Pop seperti saya lebih dekat dengan ilham pemuzik muda hari ini.
Augerah Lagu Indie (ALI) digerakkan Hashtag Media bersama Kamar Seni, Angkasa dan Rakita menyediakan ruang buat pemuzik-pemuzik indie ini untuk meluaskan pasaran muzik mereka ke capaian yang lebih besar pastinya. Dengan adanya platform penstriman muzik seperti YouTube dan Spotify hal ini sebetulnya lebih memudahkan pemasaran muzik mereka.
Tahun lalu ALI 2020 mengangkat naskhan berjudul “Penawar” daripada kugiran diberi nama Margosa yang meminggirkan peluang “Menuggu” (Orkes A. Hizadin), “Pelukan Angkasa” (S.O.G) dan “Mari Menari” (The Impatient Sisters) antaranya untuk bergelar juara.
Panel juri yang bukan calang-calang peranannya saya kira sudah mengukuhkan branding ALI itu sendiri untuk bergerak sebagai sebuah pertandingan pencarian lagu terbaik yang cukup prestij. Nama besar seperti M.Nasir, AD Samad, Rudy Nastia, JD Wong (Pop Shuvit) dan Jennifer Thompson antara yang menjadi panel penilai tahun lalu.

Pendekatan lebih komersial dilihat tahun ini daripada senarai juri yang dipilih. Nama-nama besar di pasaran muzik semasa seperti Efry Arwis, Luca Sickta, Kmy Kmo dan Amylea Azizan cukup dominan di pasaran muzik komersial. Selain turut disokong beberapa nama lain yang menjuri di tahun seperti Jennifer Thompson, Amir Jahari, Rudy Nastia juga panel baru seperti Irena Taib antaranya yang turut dipilih sebagai panel penjurian.
Berawal dengan senarai 200 teratas penyertaan, Anugerah Lagu Indie tahun ini menyenarai singkat lagu-lagu ke peringkat semi final untuk dinilai sebelum memutuskan 12 lagu terbaik yang bakal ke acara final merebut gelaran lagu terbaik tahun ini.
Pentas semi final yang diadakan secara langsung sebanyak dua kali memberi peluang kepada pesertanya untuk membuktikan kemampuan bermuzik secara langsung pastinya. Kekuatan lagu yang terhasil pasti akan banyak dibantu dengan kreativiti berpentas yang akan memberi nilai tambah dalam penjurian.

“Alive” (Bihzhu), “Jauh” (Nusarasa), “All Over Again” (Rina-Hime), “Kamar” (Runs), “Bingkai Rasa” (Ruang Hati & Heidi Moru), “Kangen” (KidiDaNoto), “Enge Port” (Arunboii), “Senja Temu Lelah” (Ber_, Leaism), “Fun Lust Love” (Late Night Frequency), “Yang Asli” (Margasatwa), “Helang & Garuda” (Kapow) dan “Tentang Siang, Malam & Romantis” (Ainina Hasnul & Eidil Teman Lelaki) menjadi 12 wakil suara untuk Anugerah Lagu Indie tahun ini.
Pentas akhir yang bakal dilangsungkan pada tarikh 18 Disember mendatang akan ditayangkan di saluran YouTube “Anugerah Lagu Indie” yang sekali lagi akan mengangkat tiga lagu terbaik dengan kategori sokongan iaitu Anugerah Lagu Indie Terpaling Platinum, Anugerah Lagu Popular dan TuneCore Choice Awards yang dilakukan secara undian dan kiraan jumlah strim di Spotify juga YouTube.
Usaha mengemudi pertandingan berasas kualiti muzik begini saya kira harus mendapat sokongan lebih banyak pihak sehingga lagu-lagu yang dipertandingkan dapat didengar dan dinikmati lebih ramai pendengar.
Apa yang lebih penting untuk difikirkan penganjur di masa mendatang adalah bagaimana mereka boleh membantu pemasaran lagu yang dikalung juara ini untuk dipasarkan dengan lebih meluas agak hype nya tidak terhenti di pentas final sahaja. Selamat maju jaya pemuzik indie Malaysia.
ARTIKEL BERKAITAN
#SepekanMuzik Pasaran Muzik Indie Tempatan – TY:DEL, Alchemist, Dewataraya, Bihzhu