
Pasaran muzik tahun ini diraikan sebaiknya dengan penghasilan album yang menyaksikan nama-nama besar pasaran Pop seperti Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Dolla, Yonnyboii, Aina Abdul dan beberapa lagi yang melahirkan album penuh sebagai salah satu demand besar peminat mereka dan yang pastinya juga meluaskan lagi landskap muzik tempatan dengan lebih besar.
Bernafas dengan kelangsungan single demi single yang dizahirkan membuktikan pemasaran album masih ada rasionalnya. Bakat-bakat muda dalam label independen seperti Breaking Music, YRR dan TONGTONG Asia menjadi rumah muzik bakat urban Pop tempatan seperti TY:DEL, Talitha., Lunadira dan beberapa lagi yang menyerlah tahun ini bagi penghasilan album penuh dalam format digital.
Muzik Kita mahu turut sama mahu meraikan pasaran album yang semakin rancak dengan menyenaraikan lengkap 10 Album / EP Terbaik sepanjang tahun. Kesemuanya sudah dihasilkan dalam sebuah produksi muzik yang pastinya mampu meninggikan terus standard muzik tempatan ke tahap yang lebih baik tanpa terikat idea lama. Berpaksi kreativiti, evolusi dan kualiti yang seiring standard muzik global.

BELAGU II
Dayang Nurfaizah / DN & AD Entertainment Sdn Bhd
“Belagu II” mendahului senarai album terbaik tahun ini dengan sebagai sebuah produksi muzik yang telah memberi satu pengalaman baru menikmati lagu-lagu klasik tempatan dengan cukup membanggakan. Dayang Nurfaizah di bawah kendalian produser muzik Aubrey Suwito telah memberikan revival kepada lagu-lagu Melayu klasik seperti “Nak Dara Rindu”, “Ketipang Payung” dan “Umpan Jinak Di Air Tenang” untuk kembali relevan dan diraikan dengan sebaik-baiknya sepanjang tahun ini. Produksi album dengan kualiti bunyi yang sebegini baik akan pasti terus didendang biar berganti generasi.

NEW CLASSIC
DOLLA / Universal Music Sdn Bhd
Dolla bergerak cukup cemerlang dan meyakinkan menerusi album perdana mereka “New Classic”. Standard persembahan muzik yang mereka berikan setanding dengan apa yang ada di pasaran global. Kolaborasi bersama produser luar dan tempatan dalam penghasilan album ini menghasilkan lagu-lagu yang bersifat cukup current dan mudah didekati. “New Classic” solid sebagai sebuah pentafsiran Pop terbaik tahun ini. Pengalaman mendengarkan keseluruhan album ini nyata membuah bangga untuk melihat bakat tempatan juga mampu menghasilkan sesuatu yang bersifat global.

UNTUK KAU
FLQ / YRR / TONGTONG Asia
This is probably the most fun album to play on repeat mode. FLQ menelusuri ilham Synth Pop dan Disko dalam persembahan Indie dengan cukup baik sekali. Setiap lagu datang dengan groove yang membentuk attitude bermuzik FLQ yang tersendiri tanpa perlu bergantung terus pada apa yang ada di pasaran muzik semasa. Album ini dibentuk dengan kesinambungan muzik yang cukup kemas daripada satu lagu ke satu lagu yang berhujung satu kepuasan menikmatinya berulang kali.

PERSONA
Yonnyboii / Def Jam Recordings Malaysia / Universal Music
Yonnyboii dewasa dengan penghasilan “Persona” yang nyata berbeza dengan apa yang ditawarkan di album perdananya. Album ini datang dengan sound yang lebih solid dalam penulisan lirik yang lebih matang, kurang depresi berbanding album perdananya. Transisi kedewasaan Yonnyboii sebagai pemuzik yang jelas di setiap lagu yang diisi.

MASIH
Yuna / YRR
Yuna kembali menawan dengan pesona sebuah EP berbahasa Malaysia keseluruhannya dengan menyentuh. Pengisiannya kali ini kembali dekat dengan jiwa-jiwa galau yang mahu diraikan dengan lagu-lagu patah hati cara tersendiri Yuna. Biar hanya terisi empat lagu, ia dihasilkan dengan cukup sempurna pada setiap satu traknya. Ceritanya dekat dengan pendengar muda, emosinya dirasai betul dengan penghasilan melodi yang mellow, lirik yang relatable. “Hiasi pagiku dengan senyumanmu” , “Tiada salah jika kau rasa sedih” dan “Kau buat ku percaya dalam sebuah camaraderie.”

AURA
Ernie Zakri / Universal Music Malaysia
Ernie melewati kematangan bermuziknya sebagai penyanyi dengan cukup sempurna di album “Aura”. Terhasil sebagai sebuah Pop album yang saya sifatkan sebagai tastefully produced. Tanpa perlu terikat dengan kehendak Balada sahaja album ini diisi dengan feel Pop R&B yang cukup baik di bahagian awalnya. Bersama produser John Jeeves, Iqie Hugh dan lainnya, terhasil lagu-lagu seperti “Aura”, “Gelita”, “The Best” dan “Terima Seadanya” – saya letakkan sebagai rangkaian lagu terbaik yang mentafsir citarasa bermuzik Ernie sebagai penyanyi.

YANG BENAR
Aziz Harun / Faithful Music Sdn Bhd
Sepertimana judulnya, saya kira EP ini gambaran terbaik perjalanan bermuzik Aziz Harun. Setiap satu lagu di album ini terisi sebagai lakaran terbaik gambaran siapa Aziz yang sebenar. Penghasilan lagu-lagunya komersil dan datang idea segar bagi menggerakkan sebuah konsep yang tepat buat Aziz. Jiwa setiap lagunya dihidupkan sebaiknya dengan komposisi muzik yang baik, lirik dalam jiwa muda dengan citarasa cukup moden dan kekinian. Hal ini jelas dalam lagu seperti Jarak, Mengapa Harus Begini dan TY.

TRANSISI
Prasasti / Ruang Hati Kita
Menikmati Prasasti dalam rif keras gitar dan derum deram yang bingit serta quirky vokal pada keseluruhan album ini memberi pengalaman yang menarik menikmati penghasilan album tempatan. “Ada Bulan” lagu yang paling menarik minat saya di album ini, melodinya keras namun liriknya puitis. Hal serupa saya dapat di lagu “Disko Setan” yang keras kritikan sosialnya. Prasasti menerusi “Transisi” adalah sebuah ideologi dan identiti. Menikmatinya harus dengan terbuka dan tanpa prejudis. Kualiti rakaman album ini luar biasa.

TY:DEL
TY:DEL / Breaking Music Sdn Bhd
Kugiran Pop ini memiliki potensi besar untuk bergerak sebagai Pop band yang harus terus diraikan di pasaran muzik tempatan. Muzik yang mereka persembahkan di keseluruhan album adalah apa yang banyak ditawarkan di lapangan muzik antarabangsa dan ditafsirkan sebaiknya dalam versi mereka. Mendengarkan lagu-lagu seperti “Run”, “Delete” dan “Grocery Store” melekakan dan tidak terasa seperti dihasilkan anak tempatan kerana sound yang mereka hasilkan baik biar masih belum sempurna.

LUNADIRA
Lunadira / Lowly
Lunadira membawa ilham R&B Pop dengan cukup flawless sekali. “Overthinking” menjadi anthem di EP ini dengan vokalnya yang cukup soothing dan merasuk. Ilham 2000’s Pop Bic Runga di lagu “Bitter” terhasil cukup mengasyikkan dan groove “I’ll Be Alright, Right” membuatkan keseluruhan album ini terhasil menyenangkan dan addictive sekali. Single perdananya tahun ini, “Go Slow” yang turut menjadikan dia sebagai penyanyi pertama Malaysia muncul di program A COLORS Show, melengkapkan EP ini. Lunadira saya kira antara bakat R&B tempatan terbaik yang kita ada.
ARTIKEL BERKAITAN