Al-Jawaher menjadi nama awal yang memberikan nuansa baru irama Nasyid dalam persembahan Pop dan Folk Nusantara dalam rangkaian lima album yang sempat dirakam sehingga hari ini sejak bermuzik sejak 1979.
Debut “Permata” yang beredar pada tahun 1980 menampilkan hits malar segar “Kembara Di Tanah Gersang” ciptaan M.Nasir sehingga hari ini menjadi naskhah penting Pop Nasyid / Kerohanian yang masih didengar dan diputar di radio.
Terdiri awal dengan 9 ahli asal Norhaiyati Yusop, Habibah Othman, Siti Rusminah Jaafar, Jumilah, Jawainah, Azizah dan Ruhaidah Ibrahim yang berasal dari Kota Singapura. Ahlhi-ahli kumpulan ini berubah beberapa kali kerana komitmen berkeluarga yang harus dipertanggungjawabkan.
Al-Jawaher menjadi gerakan penting muzik Nasyid tempatan selaian beberapa nama lain seperti Al-Mizan juga Allahyarham Ahmadi Hassan yang menjadi nama dominan dalam melaungkan irama kerohanian dan ketuhanan dalam lagu-lagu mereka.
Al-Jawaher yang membawa maksud Permata cukup popular dengan rangkaian lagu seperti “Ku Pohon Restu Ayah Bonda”, “Perjalanan”, “Adam & Hawa” dan “Assalamualaikum”. Lagu-lagu mereka banyak ditulis M.Nasir.
Dan kerana itu juga ilham muzik mereka bersatu dengan rasa Folk Nusantara yang cukup kuat jiwanya. Sentuhan puitis lirik, melodi yang mengambil ilham pengaruh timur tengah yang disatukan dengan jiwa Pop Melayu menjadikan Al-Jawaher banyak menghasilkan lagu-lagu yang cukup berkualiti.
Listri lirik “Perjalanan” contohnya mengangkat tema ketuhanan, bait-bait seperti “Dan meletihkan, Apakah ada yang mengasihani semangat untuk mencari-Mu.” Dan disambung “Pulanglah wahai jiwa yang tenang, Daku kan sambut kedatanganmu.”
Hal serupa dapat dibaca dalam bait “Kembara di Tanah Gersang” – “Kami semua senasib denganmu, Wahai kembara di tanah gersang mencari kebahgiaan dalam hidup, Menempuh berbagai rintangan yang ada, Namun bahgia masih impian.”
Lagu-lagu mereka juga antara yang popular dirakam semula oleh penyanyi muda era 90-an. “Kembara di Tanah Gersang” oleh Ziana Zain, “Ku Pohon Restu Ayah Bonda” (Mamat), “Seroja” (Jamal Abdillah & Mawi) dan “Assalamuaikum” dirakam semula Raihan.
“Drama Dunia” antara yang menjadi kegemaran saya dalam rangkaian penuh lagu-lagu yang pernah mereka rakam. Melodi dan lirik lagu ini terhasil dalam sebuah persembahan Pop dengan dinamik dan keinsafan. Kemasan melodi lagu ini menyatu baik dengan liriknya “Pelakon di atas pentas menangis dan ketawa, Tanpa disedari kita juga sama.”
Al-Jawaher saya kira sudah menjadi satu nama nan abadi dalam perjalanan muzik Nasyid / Kerohanian tempatan. Rangkaian hits mereka saya pasti tidak hanya akan terus didengar tetapi akan terus dirakam penyanyi pelapis lainnya.
Dengarkan kesemua audio rasmi Al-Jawaher di saluran YouTube “Getaran Nostalgia.
ARTIKEL BERKAITAN
#RetrospektifMuzik Menghayati Ceritera Rakyat Dalam Ilham Muzik Nusantara Rock “Kembara”