
Lama sebetulnya saya tidak menulis tentang AJL, mungkin kerana keterujaan melihat finalis yang berulang serupa dan kekecewaan melihat “Debu” sebagai Pop paling berevolusi dalam sejarah AJL tewas bergelar Juara membuatkan saya semakin tidaklah lagi memandang apa lagi menariknya AJL sehinggalah tahun lalu Amir Jahari menerusi “Hasrat” bergelar juara membuatkan hati saya berdetikata oh, akhirnya ~~ juara yang seperlunya diangkat juga (Hasrat juga sudah MK pilih sebagai rilis terbaik 2023)
Tahun ini sepuluh lagu yang bertanding boleh saya sifatkan setidaknya 8 daripada 10 lagu ini adalah apa yang saya mahu lihat di pentas final. Banyak yang bertanya pabila saya mengulas apa yang saya nilai? Pertama asas melodinya harus memiliki keaslian tanpa mengulang ilham serupa sahaja berkali-kali yang sehingga membuatkan pendengar (bukan fans) keliru apa bezanya lagu ini dengan lagu yang sebelumnya.
Kedua, idea dalam persembahan keseluruhan yang memiliki infusi muzik kekinian (current) dan mewakili idea dan sound hari ini – bukan sound zaman Pelamin Anganku Musnah. Cara mencorakkan tujuh nada dalam muzik menjadi sesuatu yang kekinian itu lebih penting. Paksinya ada pada irama, harmoni, dinamik, landskap, tempo dan tekstur. Cara pengolahannya yang menjadikan ia sesuatu yang baru segar dan memiliki elemen malar segar – yang hayatnya akan panjang dan terus diraikan (Evergreen).
Dan ini ada pada dua lagu yang terlepas peluang ke final iaitu “Masihkah Ada Itu” dan “Sangkar Derita”. Betul, kedua-duanya berasas Balada yang sedia ada tetapi ia dimanipulasi dengan satu kemasan muzik, idea dan sound yang baru. Bersama hal-hal yang saya sebutkan tadi kedua-lagu ini lengkap (bukan sempurna) sebagai lagu yang mewakili kehendak bunyi hari ini.
Ketiga, penulisan liriknya haruslah berevolusi, kosa kata yang luas dan datang dengan gaya bahasa yang disusun kemas mengikut kehendak, pemikiran dan idealisme masa kini. Rujukan pada idea lama boleh tapi tidak perlu mengikut acuan serupa. Definisi puitis hari ini dan di zaman 80-an dulu pun berbeza – ini hal yang paksinya berbalik pada kecenderungan generasi sekarang berbahasa.
Sekali pun perlu menjadi sedih, raikanlah kesedihan itu dengan cerita dengan gaya bahasa yang sekarang. Penat saya membaca lirik-lirik macam nak mati susahnya hidup sebab kecewa cinta dan ditinggalkan. Kalau zaman Berpisan Jua – Ziana Zain, Pelamin Anganku Musnah – Azie atau Hajat (Haida) saya faham. Tapi zaman dah berubah kan. Pemikiran dan cara hidup kita sendiri berubah. Jadinya penceritaan, gaya bahasa dan pemilihan kata harus juga mewakili state of mind generasi hari ini. Mati, bodoh, sakit, kecewa so last decade. Luaskanlah perbendaharaan kata.
Dan yang terkahir penyampaian. NEVER OVER DO YOUR SINGING. Bila over do memanglah orang menjerit suka, tapi maaflah again ini bukan lagi zaman menyanyi untuk show off. Simple tapi sampai itu lebih penting daripada nak show off tak ada hala tuju. Saya sukakan vokal yang kemas, bercerita mengikut tekslirik yang ditulis dalam emosi yang tepat dan sampai rasanya. Ini yang Ernie Zakri beri pada kita semua tahun lalu menerusi “Astana” but yeah.
Untuk hujahan berikutnya saya akan berbahas tentang sepuluh lagu yang bertanding tahun ini dengan tiga aspek yang saya lihat dan siapa yang mendahului tiga elemen ini. Jika anda bersetuju dengan tiga hujah saya di atas boleh teruskan membaca jika tidak close your tab.

MELODI, IDEA & KEMASAN MUZIK
Originality dalam penciptaan melodi ada pada “Diam” (Hael Husaini / Iqie Hugh) , “Bukan Lagi Kita” (Hael Husaini / Iqie Hugh) dan “Risiko” (Kinggolddigga / Benzooloo / Ghidd / Meerfly / Mk / Tuju / Twntytwo Degree) mendepani mana-mana lagu yang lain. Dan ketiga-tiga lagu ini juga memiliki faktor nombor dua yang saya tulis di atas tadi. Infusi muzik moden dan kekinian. “Diam” akan menang besar kalau saya yang menjadi juri – Persembahan Pop yang cukup solid, original dan bereksperimentasi dengan sound yang radarnya bergerak dengan kehendak muzik Pop global hari ini.
Tapi dinamik dan attitude luar biasa dalam “Risiko” mampu memecah peluang “Diam”. Kolaborasi Hip-Hop ini antara yang paling cemerlang sejak “Mimpi” (ALYPH / K-Clique). “Risiko” bergerak cukup tersendiri dan cukup distingtif dan lagu ini ada struktur instrumentasi muzik yang menarik dan nyata meninggalkan klise Pop tempatan.
Jika mahu yang seimbang dan melengkapi kehendak melodi, idea dan produksi muzik “Bukan Lagi Kita” adalah juaranya. Saya sukakan asas Balada yang dibentuk dengan satu struktur berbeza. Cara Hael dan Iqie menjadikan “Bukan Lagi Kita” sebagai Balada yang berevolusi jelas di lagu ini. Lengkap dengan melodi, kemasan muzik yang current dan lirik yang membaluti kehendak melodi. Lagu ini kisahnya masih sebuah tragedi cinta tetapi ia tidak lemah. Riff gitar di lagu ini memberi ruang untuk “Bukan Lagi Kita” stand out dengan lebih progresif berbanding Balada lain yang bertanding tahun ini.
“Hening Rindu”, “Saksama” dan “Sengaja” ada melodi yang sedap namun penghasilannya masih di standard biasa. Sejujurnya saya lebih mengharapkan lagu “Dulu, Kini & Akhirnya” sebab lagu itu lebih kemas penghasilannya. “Puas Sudah” masih begitu-begitu sahajalah suicidal Ballad dan terlalu meleweh. “Aura” ada kemasan muzik yang baik cuma melodinya masih berpaksi pada kebiasaan lagu-lagu Ernie. Tapi “Aura” akan dibantu secukupnya story telling Ernie. “Terus Bersinar” juga begitu akan dibantu secukupnya justifikasi Hafiz bercerita dalam lagu.
“Pujaanku” (Masdo / Ali Sariah / Heidimoru / Aisyah Aziz) ada melodi yang malar segar dan sudah saya ulas juga di sini. Penghasilannya mengambil acuan muzik terdahulu yang diolah dengan citarasa bermuzik yang baru, memiliki attitude dan dekat dengan pendengar. Ini antara yang terbaik pernah Masdo hasilkan sepanjang mereka berkarier.

LISTRIK LIRIK
“Bukan Lagi Kita” (Hael Husaini / Iqie Hugh) bergerak atas jalan cerita yang current – tidak terikat gaya bahasa era Lukhman S atau Mama Juwie. Bait yang ditulis bagai satu perbualan tetapi disenyawakan sebaiknya dengan melodi dan penceritaan Nadeera. Lagu ini ada banyak bait yang sedap, current, kemas dan tak cringe “Dan akhirnya // Kau dan kau saja // Cuba melawan takdir perpisahan kita” Frasa yang sangat kuat sebelum ia bersambung baik killer di korusnya “Tergamaknya kau // Kau bertanya // Di manakah kita?.” Dan lagu ini ditutup dengan sempurnya bait “Kau yang menghancurkan // Dan kau sendiri mempersoalkan // Sedang kau tahu kita bukan lagi kita.”
Ini yang saya maksudkan awal tadi. Sekali pun perlu menjadi sedih, raikanlah kesedihan itu dengan cerita dengan gaya bahasa yang sekarang tanpa perlu menjadi lembik. “Bukan Lagi Kita” sebuah teks revenge bagi saya. Dia wanita yang kecewa dengan keadaan tetapi dia kuat dan tahu nilai dirinya – so she fight. “Ku mahu engkau merasakan // Rasa terkhianati pada setia yang ku beri.”
Ini bukan lagi zaman “Mampukah untukku // Merengkuh hatimu // Kasih yang kurayu.” atau “Sakit ini mencengkam // Tiada penghujungnya // Namun apa daya ku // Sebagai seorang hamba.” LETIH. Tidak langsung mewakili suara wanita hari ini. Wanita hari ini sebaiknya yakin sebegini “Aku jelmakan aura // Sesiapa yang lihat aku terpesona.”
Sekarang kita berbicara tentang “Diam” penghasilan cemerlang Hael dan Iqie. Namun perbualan saya bersama seorang teman menimbulkan keraguan. Jika perkataan “Celaka” itu akan dianggap negatif oleh juri dan hal ini akan memudarkan harapan serta peluang “Diam” untuk bergelar juara – sekali pun hakikatnya menurut saya lagu ini secara evolusi Pop, sudah mendepani lagu-lagu lain yang bertanding. But again, ia bergantung pada sudut pandang juri. “Celaka” jika dilihat sebagai satu perlambangan kekecewaan dan amarah ia sebetulnya tiada masalah pun. Tapi itulah juri semua pula mostly usianya sudah semakin terlalu senja untuk mendasari pemikiran generasi kini.
“Bintang filem ucaptama masuk zone” membuka “Risiko” dengan cemerlang. Dengan bait itu sahaja sudah buat saya teruja melewati teks lirik lagu ini. Ia bergerak dalam sifat kendiri – mungkin ego, juga pentafsiran pada pemikiran yang personal. Dalam gaya bahasa yang berbalam, ia menolak terus ilham puitis tetapi apa yang dipersembahkan adalah pemikiran, idea dan sebuah cult bahasa dalam muzik.

DAN VOKAL TERBAIK…
Rekod empat kali yang dipegang Hafiz akan memberi cabaran buatnya malam AJL 39 nanti. “Terus Bersinar” lagu yang panjang dan tidak berhenti sehingga ke hujung lagu. Jika dinilai pada persembahan separuh akhir yang lalu Hafiz cemerlang. Flawless. Hafiz jarang over do his singing – emosinya selalu sampai dan dan setiap bait kata yang disampaikan jelas dalam makna yang sepatutnya.
Amir Masdi antara yang saya nanti. “Sengaja” memberi justifikasi terbaik pada vokal amir. Power yang Amir ada dalam projection seimbang dengan kehendak lagu-lagu yang dia sampaikan. Amir akan cemerlang malam esok. Namun lagu ini secara teknikal kurang tingkat tara kepayahan. Tapi kalau nak diikutkan hal itu, Ernie tewas tahun lalu dengan teknik yang sangat kemas berbalut kemerduan yang ada.
Vokal di AJL boleh jadi begitu subjektif sebetulnya. Ia seratus peratus bergantung pada preferensi dan saya tidaklah begitu mahu mengupasnya. Cuma apa yang selalu saya mahu adalah nyanyian itu dirasai. Menyanyi dengan runs dan adlib yang bermacam-macam tapi berhujung jeritan pun annoying kot. Macam saya katakan di awal tadi simple tapi sampai itu lebih berkesan dan yang paling penting tidak melebihi kehendak melodi. Saya cuma berharap Marsha akan lebih relaks, sebab bila dia relaks suara dia sedap dan Aina tidak lagi bermacam-macam.
SECARA PREFERENSI JUGA INI PILIHAN MUZIK KITA MENGIKUT KEDUDUKAN.
- Bukan Lagi Kita (Hael Husaini / Iqie Hugh / Nadeera)
- Diam (Hael Husaini / Iqie Hugh)
- Risiko (Kinggolddigga / Benzooloo / Ghidd / Meerfly / Mk / Tuju / Twntytwo Degree)
- Pujaanku (Ali Sariah / Heidimoru / Masdo / Aisyah Aziz)
- Aura (Ernie Zakri / John Jeeves / Firdaus Rahmat)
- Sengaja (Bunga Cantik / Hang Nadim / Amir Masdi)
- Terus Bersinar (Mas Dewangga / Jova Devito / Arisz Ab Rahman / Hafiz Suip)
- Hening Rindu (Ikhwan Fatanna / Wan Saleh / Marsha)
- Saksama (Akim & The Majistret / Bunga Cantik)
- Puas Sudah (Aina Abdul)
ARTIKEL BERKAITAN