Kemerduan dan santun nyanyian penyanyi Melayu Asli cukup terbukti dalam persembahan secara langsung mahupun rakaman studio yang jika di era 60-an dan 70-an itu sedia maklum nyanyiannya itu harus kemas sebelum boleh dirakam.
Rosiah Chik satu daripada legasi penyanyi Melayu Asli di eranya yang masih diingati sehingga hari ini. Seiiring rakan seperjuangan Orked Abdullah dan Kamariah Noor, Rosiah Chik atau senang digelar Mak We ketika hayatnya.
Cukup aktif di era 70-an bersama Sri Pelangi Ghazal Muar, Rosiah Chik cukup dikenali sebagai penyanyi Ghazal yang sering dendangannya mengisi lagu-lagu yang bersiaran di Radio Malaysia lewat 60-an. Dilahrikan di Kota Tinggi pada tahun 1931, bakat menyanyinya sudah diasah sejak usia remaja dengan menjadi penyanyi majlis-majlis perkahwinan sekitar Johor.
Album perdana piring hitam beredar bersama S.Radziah dan Ahmad Jusoh pada tahun 1974 merupakan pengalaman perdananya merakamkan lagu. Menerusi EP tersebut suaranya dipinjam bagi rakaman lagu “Embun Di Rumput” yang merupakan debut memperkenalkan namanya sehingga hari ini.
Mak We atau nama sebenarnya Rosiah Abdul Manaf kemudia banyak menjadi penyanyi latar di Singapura bersama Cathay Keris. Di san dia mengumpul pengalaman penerbitan dan belakang tabir namun masih turut aktif merakamkan beberapa album piring hitam lainnya seperti “Rahsia Hati” dan “Mak Nek” bersama Sri Pelangi Ghazal Muar.
Tampil solo pertama kali menerusi rakaman EP “Kesah Di Waktu Malam” pada taun 1966 di bawah label EMI Hong Kong ketika itu menjadikan nama Rosiah Chik antara penyanyi Ghazal dan Melayu Asli yang paling diraikan. Empat lagu yang mengisi EP tersebut juga menjadi antara yang cukup meninggikan namanya di pasaran muzik tempatan.
Lagu seperti “Memadu Kaseh” dan “Tetap Ku Puja” ciptaan Zaina S. Abbas antara yang masih didengari dan diingati sehingga hari ini. Sepanjang bermuzik biarpun tidak terlalu besar di pasran muzik mainstream, nama Rosiah Chik sering mengisi persembahan acara tertentu yang sentiasa memerlukannya.
Pernah merakamkan lagu bersama Bob Yusof menerusi lagu “Hantaran Hati” yang juga berjaya ke acara final Juara Lagu selain lagu “Zapin Senandung Dua” yang merupakan kemunculan perdananya di AJL mewakili kategori Irama Malaysia.
Sepanjang bermuzik, Rosiah Chik pernah dianugerahkan Anugerah Sri Wirama oleh Anugerah Industri Muzik pada tahun 2001 sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2006 akibat sakit jantung.
Selain nyanyian, lakonan turut menjadi bakat lainnya. Antara filem yang menampilkan wajahnya adalah Ayer Mata, Merana, Mangsa, Supah Orang Minyak, Sumpahan Mahsuri dan Tun Fatimah.
ARTIKEL BERKAITAN