
Perjalanan karier bermuzik sesebuah kugiran di era lapangan 70-an dan 80-an cukup menarik. Bergerak atas medium persembahan pentas dengan kemampuan menyanyi dan perform secara langsung, bakat-bakat legenda ini dicungkil bakat mereka sama ada di pentas kelab malam atau pertandingan nyanyian.
Keyakinan yang sudah diletakkan ketika berpentas menjual bakat muzik membawa mereka ke studio rakaman bergelar penyanyi, memiliki album penuh atau EP dan menghasilkan rangkaian hits malar segar yang didengar berganti generasi.
Dan hal ini membuatkan kemampuan menyanyi dan berpentas mereka itu tidak pernah hilang bisanya. Lihatlah bagaimana artis-artis lama yang menjangkau usia 60 atau 70 masih mampu menyanyi live dengan sangat baik. Kerana apa? Kerana kehebatan itu sudah dilatih sebelum mereka mengecap populariti sebagai penyanyi.
Alleycats sebuah kugiran yang dibentuk penghujung 60-an antara yang mengecap kegemilangan sebagai pemuzik dengan cara yang saya sebutkan tadi. Awal bergerak sebagai pemuzik kelab malam sehingga pertengahan 70-an, Alleycats mencuri perhatian record label di Singapura ketika mereka sibuk di pentas Mocambo, Hong Kong.

Album berjudul “Terima Kasih” yang beredar di tahun 1979 menjadi pertaruhan perdana bersama label Philip – Polygram Records. Tanpa perlu membuang banyak masa mereka mencipta gemilang sebagai pemuzik Pop dengan hits “Jika Kau Bercinta Lagi” dan “Senandong Semalam”.
Album yang diterbitkan oleh Wan Ibrahim itu melonjakkan nama Alleycats sebagai kugiran Pop yang cukup promising ketika itu. Dan dek kerana penerimaan yang luar biasa debut tersebut pihak record label tanpa mahu melengahkan masa mengedarkan sebuah lagi album di tahun yang sama dengan judul “Penyanyi”.
Album yang menampilkan tenaga kerja seperti Ooi Eow Jin dan M.Nasir itu meneruskan populariti Alleycats di corong-corong radio sehinggalah liputan meluas di media massa. Diterbitkan oleh Eric Yeow bersama Polygram Singapore / Hong Kong.
Dan sejak itu nama Alleycats memonopoli pasaran muzik 80-an seiring dengan populariti Sudirman, Sharifah Aini dan Anita Sarawak ketika itu. Album demi album dihasilkan dengan rangkaian hits malar segar yang tidak terhitung banyaknya menjadikan kugiran Pop ini antara living legend yang sentiasa didengari berganti generasi.
Sudah merakamkan lebih 20 album studio keseluruhan, lagu-lagu seperti “Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi”, “Sampaikan Salam Cintaku”, “Andainya Aku Pergi Dulu”, “Hingga Akhir Nanti” dan “Suara Kekasih” sudah termaktib dalam sejarah muzik tempatan sebagai rangkaian lagu terbaik yang pernah dicipta sepanjang zaman.
Dari Pop, Balada, Disko sehingga irama Joget, Alleycats sudah membentuk acuan muzik mereka yang bersifat Malaysia sekali hasilnya. Bersama M.Nasir sebagai produser yang paling banyak menghasilkan lagu-lagu buat Alleycats – terhasil sebuah kosmik Pop yang cukup sinonim dengan kugiran ini.
Namun seperti mana bintang Pop yang lain, kembara muzik Alleycats juga ada turun naiknya. Selepas M.Nasir melepas ikatan bersama Polygram arah muzik kugiran ini bercelaru tanpa berjaya mencipta hits baru yang mampu menandingi karya-karya M.Nasir.
Hal ini jelas terbukti menerusi penghasilan album “Untukmu” (1992) yang hadir tanpa satu pun sentuhan M.Nasir. Mengukuhkan fakta-fakta ini perkara ini boleh dirujuk dengan kejayaan kumpulan Search dan Wings yang cukup booming di lewat 80-an dan 90-an dalam memonopoli pasaran muzik ketika itu dengan karya-karya Nasir.
Setelah itu mereka hanya fokus menghasilkan album kompilasi sehinggalah di tahun 1998 Alleycats bersama produser Eric Yeow menghasilkan album berjudul “Kucing Lorong” yang juga sekali lagi gagal mencuri perhatian yang besar.
Namun itu tidak sesekali melenyapkan nama Alleycats di pasaran muzik semasa. Hits terdahulu mereka masih mendapat air play dan kelibat mereka di televisyen juga pentas persembahan masih lagi aktif cuma lagu-lagu baru yang terhasil tidaklah memiliki hook serupa seperti apa yang mereka lakukan bersama M.Nasir.
Penghasilan album kompilsi terus menjadi fokus Alleycats setelah itu sehinggalah di tahun 2001 mereka kembali bekerjasama dengan M.Nasir menerusi sentuhan emas buat lagu “Setelah Bertahun” dan “Mawar Berduri”.
Kehebatan Alleycats itu secara peribadi bagi saya adalah versatiliti dalam bermuzik mereka yang tidak langsung menenggelamkan identiti mereka. Biar harus merakamkan lagu joget seperti “Joget Terluka” dan “Joget Gurau Senda” semuanya tidak lari dari landansan terbaik untuk kita tahu itu Alleycats.
Menonton kembali persembahan live mereka di YouTube buat saya fikir Datuk David Arumugam dan band mates nya itu memang dilahirkan untuk perform, untuk bermuzik secara langsung. Kini kesemua lagu-lagu bertaraf legenda mereka boleh dinikmati di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN
Bernostalgia Dengan Persembahan Pop Melayu Sudirman Menerusi Album “Lagu Anak Desa”