
Seminggu dua ini saya banyak melewati kalendar muzik 70-an dalam ilham Pop Melayu rata-ratanya dipenuhi suara-suara merdu Biduanita buluh perindu yang menghiburkan kita berdekad lamanya. Mendahului senarai utama pasti saja Sharifah Aini, Rafeah Buang dan Uji Rashid.
Pasaran muzik Melayu era ini sebetulnya dipengaruhi irama Melayu Asli yang dimasukkan pengaruh muzik Hindi. Hal-hal ini dapat didengar jelas dalam rangkaian duet Uji Rashid juga Hail Amir khususnya. Album perdana mereka “Antara Matamu & Mataku” (1976) terhasil daripada ilham tersebut.
Hits seperti “Antara Matamu & Mataku”, “Tanda Kasih”, sehingga rakaman semula “Gelora” dengan barisan komposer serta produser seperti Ahmad Nawab, S.Atan, Osman Ahmad menghasilkan album ini yang menjadi antara album penting di era 70-an.
Uji Rashid menerusi album “Kali Terakhir Ku LIhat Wajahmu” dengan lebih banyak lagu hits di bawah kendalian Datuk Ahmad Nawab yang menjadi antara album penting Uji Rashid sepanjang karier muziknya.
Dengan barisan lagu malar segar seperti “Kemesraan”, “Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu”, “Kembalilah” dan “Mengapa Dirindu” terhasil sebagai sebuah album yang cukup kuat feel Kemelayuannya.
“Hanya Kasih” saya letakkan sebagai lagu terbaik yang dirakamkan Uji Rashid sepanjang karier muziknya. Melodi Ahmad Nawab menerusi lagu ini antara yang cukup asli sekali penghasilannya.
Pesona Uji Rashid itu sebetulnya tentu saja datang lebih awal datangnya daripada apa yang sudah disajikan Sharifah Aini dalam kembara kerjaya yang bermula lewat 60-an lagi.
Biduanita Sharifah Aini muncul dengan EP Perdananya berjudul “Seri Dewi Malam” pada tahun 1970 di bawah kendalian produser muzik Kassim Masdor dengan tida lagu lainnya “Dari Masa Hingga Masa”, “Kini Hatiku Telah Tertawan” dan “Jasa Ninda”.
Seri Dewi Malam menjadi titik tolak bermulanya perjalanan muzik Sharifah Aini dalam memikat penggemar muzik tempatan ketika itu. Suara lunak merdunya melintasi pendengaran semua ketika itu yang jarang gagal membuat kita jatuh cinta dengan alunannya.
Setelah itu satu per satu album diterbitkan bersama EMI ketika itu dengan rangakaian album Pop, Irama Melayu Asli, album Inggeris sehingga rakaman-rakaman duet bersama Broery Marantika antaranya menjadi antara yang cukup ikonik sehingga hari ini.
Keindahan vokal Biduanita Sharifah Aini yang sering diberi jolokan buluh perindu itu seterusnya menghasilkan lebih ramai lagi penyanyi wanita dengan acuan muzik serupa namun pastinya tidak dapat menandingi pesona suara miliknya.
Beberapa rakaman album terbaiknya seperti Irama Cintaku (1972), Lela Manja (1979), Malam (1980) merentas ke era 90-an dan 2000.
Nama Sharifah Aini tentu saja sinonim dengan produser muzik hebat seperti Datuk Ahmad Nawab, S.Atan, Khairil Johari Johar, Ramli MS antaranya melengkapkan kosmik Pop biduanita.
Rafeah Buang seorang lagi buduanita Pop Melayu yang lebih awal menjengah pasaran muzik Malaysia – Singapura di era 60-an lagi. Berawal dengan kugiran The Swallows menghasilkan EP self-titled bersama produser muzik Kassim Masdor.
Berisi empat lagu, EP tersebut menjadi satu daripada keseluruhan 3 EP yang dikeluarkan Rafeah Buang pada tahun 1968 sahaja. Pengaruh muziknya perlahan-lahan tersemai dalam pasaran muzik tempatan sehingga hari ini dengan rangkaian hits seperti “Udang Sama Udang”, “Ya Illahi Ya Rabbi” dan “Gurindam Rindu”.
Apa yang istimewanya tentang Rafeah Buang adalah kebanyakan lagu-lagunya adalah ciptaannya sendiri yang kebanyakan dibantu produksi muziknya oleh Ooi Eow Jin yang juga bertanggungjawab merangka album Rafeah Buang seperti “Don Juan” dan “Dalam Ketenangan”.
“Bisikan Hati” tentu saja akan menjadi lgu malar segar Biduanita ini yang akan terus meniti bibir dan menyentuh hati setiap yang mendengarnya berganti generasi tanpa pernah hilang magisnya.
Suara ketiga-tiga biduanita ini tentunya menjadi antara suara yang akan sentiasa didengari dan diingati sebagai pioneer dalam legasi muzik tempatan. Dengarkan rangkaian lagu-lagu Uji Rashid, Sharifah Aini dan Rafeah Buang di saluran YouTube “Getaran Nostalgia”.
ARTIKEL BERKAITAN