
Album: Margasatwa
Artis: Margasatwa
Produser: Margasatwa
Label: Luncai Emas Sdn. Bhd.
Awal 2020 kiranya dibuka cukup cemerlang dengan barisan rilis Pop pelbagai yang seharusnya beriring satu tujuan meninggikan standard muzik tempatan. Di legasi Indie tidak ketinggalan sedikit pun dengan anak-anak muda yang sentiasa mahu tampil organik namun solid penghasilan muziknya.
Margasatwa satu daripada kugiran yang paling saya look forward secara peribadi sejak awal mereka memperkenalkan single “Ego” yang dirilis sekitar 2018. Dan “Ego” sebagai pengenalan kugiran ini di persada muzik lokal sudah kami letakkan sebagai 10 Rilis Terbaik 2018
Tahun lalu Margasatwa merilis album perdana mereka secara fizikal sebelum di awal Januari ini mereka siap mahu mengembangkan pasaran muzik lebih luas secara digital. Beriring 11 lagu dalam ilham Folk / Rock Margasatwa membawa pendengar dalam satu pengalaman menikmati muzik yang nyata berbeza.
Album ini dibuka penuh nusantara di lagu “Gemersik Hilai” yang sedikit mengingatkan saya pada Kopratasa yang revive dengan kemasan muzik yang lebih mengagumkan. Lagu ini menjadi pembukaan yang cukup promising untuk sebuah album penuh.
“Merpati” dan “Alam Sendiri” lebih membuai rasa dan membuat saya melayang mendengar journey muzik kugiran ini. Elemen keroncong dalam “Alam Sendiri” cukup menarik pabila disatu feel blues yang melekakan.
Sehingga di trak “Hadirmu” saya mula memberi perhatian pada detail suara Kimal yang punya weight vokal yang sangat-sangat baik dan clarity dalam penyebutan kata-kata di setiap bait liriknya dilantun baik bermakna.
Perincian khusus dalam bermuzik ini diteruskan dengan puitis lirik yang cukup saya enjoy menikmati penulisannya. “Aplalah nasibku selalu merana kerana cinta dunia..” di lagu Merpati cukup menjerit realiti manusia hari ini.
Begitu juga bait-bait “Kusawan Murbawan” yang begitu kuat kritikan sosialnya. “Bau uang sendawanya, ditikam tiada luka, malah ketawa ha ha ha.. Siapa itu cuba teka?…” dan dilangsungkan dengan “Duduk termenung mengira tangga, tinggikah lagi untuk ke sorga dunia?…” Begitu cantik sekali susunan kata-katanya.
Dan sebetulnya ini adalah kelebihan Margasatwa yang kurang ada pada indie band lainnya. Penulisan lirik dan suara Kimal adalah kekuatan Margasatwa selain persembahan muzikal mereka yang tersendiri. Karakter vokal Kimal juga semakin seronok dinikmati di beberapa lagu lain seperti “Asmara Botol Kaca” antaranya.
“Blues Sang Pemalu” antara lagu repeat mode saya di album ini. Feel blues dalam lagu ini menjadi sekali penghasilannya dengan dinamik melodi, korus yang sing-a-long membuatkan ia antara lagu terbaik album ini.

“Setelah Itu” yang sekali lagi hadir dalam ilham keroncong cukup indah dan magical sekali. Bait lirik “Yang terjadi hari ini jangan diulang lagi. Semoga esok kita akan bangun dengan bahagia…” Saya kira lullaby yang cukup baik menutup hari yang melelahkan.
Album ini ditutup dengan “Muka masih basah disimbah masalah..” di single perdana mereka “Ego” yang akan sentiasa menjadi lagu di senja-senja saya saat sendiri. “Ego” terlalu indah sekali penghasilannya – baik melodi, lirik dan penghasilan produksi muzik lima bintang yang harus kita banggakan.
Mendengar Margasatwa membawa saya pada ilham folk Kembara, Kopratasa dan mungkin juga Alleycats yang disatukan dalam satu pengalaman menikmati muzik sebenar. Margasatwa harus kiranya kita semua angkat sebagai barisan pemuzik masa depan yang mampu membanggakan pasaran muzik tempatan secara total.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN
Intepretasi Rock N Roll “Jemson” Dalam Derum Deram “Balada Cinta Kosmos”