Pasaran muzik 80-an bergerak progresif dengan hadirnya kugiran-kugiran hebat yang mengambil pengaruh muzik luar yang dilokalkan sifatnya. Kembara satu daripada band yang cukup dominan dengan soud Folk / Psychedelic / Rock selain beberapa band popular lain seperti Black Dog Bone dan Sweet Charity yang cukup dominan di era serupa.
Menerusi album perdana “Kembara” yang beredar pada tahun 1981 Kembara berhasil mencelah pasaran muzik BDB dan Sweet Charity yang cukup booming ketika itu dengan single “Hati Emas”, “Malam” dan “Ekspress Rakyat”.
Ilham cerita tentang rakyat, ibu, buruh kasar, remaja dan perasaan dalam mengejar impian dan cita sebagai manusia yang cukup humanis terhasil daripada puitis lirik-lirik dalam album ini yang memberi tafsiran tepat cerminan nama “Kembara” itu sendiri.
Kisah yang mereka tulis di setiap lagu dekat dengan kehidupan sebenar pendengar tanpa terikat ilham Pop atau Rock ketika itu yang banyak mengangkat kisah cinta sebagai bahan utama penulisan lirik.
Dan hal ini yang membuatkan saya kira Kembara diterima baik pendengar selain kualiti muzik yang dipersembahkan bersifat nusantara sekali. 7 lagu daripada 10 lagu daripada album ini ditulis M.Nasir dan selebihnya oleh A.Ali dan Edy Nor Ali.
Perlambangan dalam lagu yang ditulis dalam cerminan cerita kemanusiaan banyak sekali dalam karya-karya kembara. Lagu seperti Kiambang sarat intipati kemanusiaan yang sepi terpinggir. Selain Bunga Bakawali yang cukup puitis susunan kata-kata serta ceritanya.
Muzik folk nusantara Kembara cukup kuat sekali menggambarkan identiti sebenar kugiran ini. Lagu-lagu keroncong di tangan mereka menjadi lebih berevolusi ketika itu. Lihat sahaja bagaimana M.Nasir menulis “Kami Anak Zaman Ini” dan tentu sekali hit malar segar “Keroncong Untuk Ana” yang begitu tebal sekali jiwa nusantaranya.
“Hati Emas” bagi saya adalah anthem muzik “Kembara” sepanjang karier mereka. Lagu ini refleksi sebenar kugiran ini yang diteruskan dengan rangkaian lagu-lagu malar segar lainnya seperti Kepadamu Kekasih, Gerhana, Keroncong Untuk Ana, Duit, Rupa Tanpa Wajah, Malam dan Ekspres Rakyat antaranya.
Seharian saya menghabiskan masa mendengarkan hampir kesemua album kumpulan Kembara yang siap dimuat naik oleh Universal Music Malaysia menerusi saluran YouTube “Getaran Nostalgia” membuat saya berfikir begitu teliti serta berseni sekali orang dulu-dulu menghasilkan sesebuah karya yang luar besar jiwanya.
Penulisan mereka tidak berlegar isu cinta sesama manusia semata, kisah-kisah jiwa seorang nelayan diangkat sebagai pengisian malah mengusik jiwa-jiwa resah anak muda sehingga buruh kasar yang ditulis dengan begitu tinggi nilai kemanusiaannya. Ini merupakan hal-hal yang semakin tidak lagi mahu dibicarakan pemuzik hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN