Musim baru bermuzik mula lagi dengan rangkaian lagu-lagu daripada pemuzik pelapis yang datang dengan idea segar sebagai satu perlambangan baru muzik tempatan.

Lagu: telepati
Persembahan: Aziz Harun
Komposer / Lirik: Iqbal Siregar / Denis Ligia / Faishal M. Fasya / Aziz Harun
Produser: IDEAL / Faishal M. Fasya
Sedar tidak sedar sudah sedekad Aziz Harun melalui transisi sebagai pemuzik pelapis yang menghadirkan kita dengan idea segar, menolak ilham Pop yang konvensional. Sedekad ini juga menjadi perjalanan yang cukup cemerlang sebetulnya untuk dia mengemudi sebuah kembara bermuzik dengan caranya tersendiri dan mengumpul pengikut yang tersendiri.
Setelah kolaborasi bersama Nadhif dan Aisha lewat “Kota Ini Tak Sama Tanpamu” dan juga bersama Rendy Pandugo bersama NAKI menerusi “Menjadi Dewasa”, Aziz kembali bergerak solo dan lebih menarik penghasilannya. Bersama Iqbal Siregar, Denis Ligia dan Faishal M. Fasya – “TELEPATI” terhasil sebagai pertaruhan terbaru.
Bergerak atas landasan Pop yang berbalut sempurna jiwa muziknya, “TELEPATI” menjadi persembahan yang secukupnya. Melodinya mengikat dengan sekali pendengaran dan killer sebenar ada pada penulisan liriknya yang cukup menarik.
Bait-bait seperti “Ku kirimkan telepati // Biar kau tak sedih lagi // Cium aku walau dari jauh // Semoga bisa jadi obat rindu.” di korusnya begitu baik sekali dan saya semakin leka dengan kosa kata indah dalam bait “Semilir angin itu nafasku // Dan gerimis itu air mataku tanda rindu.” Penghasilannya simple namun menyentuh secukupnya.

Lagu: Lain Semesta
Persembahan: Fiza Thomas / NAKI
Komposer / Lirik: Darien Sebastian / NAKI / FITHO
Produser: Darien Sebastian
Nama Fiza Thomas sebagai penyanyi saya kira belum begitu diperakui. Mungkin ia satu proses pencarian diri dan arah bermuzik panjang buatnya. Beberapa single yang sudah beredar juga tidak begitu memberi justifikasi yang secukupnya untuk dia diberi perhatian sebagai penyanyi. Bakat sudah ada namun lebih pada bakat adalah naskhah muzik yang tepat yang diedarkan pada masa yang tepat.
Ia proses biasa sebetulnya. Wani Kayrie, Marsha, Nadeera dan beberapa nama lain sudah melalui proses panjang ini sebelum benar-benar diraikan pendnegar tempatan. Dua single yang beredar tahun lalu sebetulnya tidak begitu menarik perhatian saya dengan muziknya.
Namun ada sesuatu dalam kolaborasi bersama NAKI menerusi single “Lain Semesta” yang baru beredar. Emosi Fiza lewat lagu sebegini lebih dirasai, penyampaiannya juga berbeza. Biar ada banyak pengaruh Nadin Amizah namun saya percaya ia lebih bersesuaian dan kedengaran lebih mengena.
Chemistry bersama NAKI juga begitu dirasai dalam balutan melodi Ballad Folk lewat lagu ini. Transisi verse ke korus sehingga ke hujung benar-benar lengkap sebagai naskhah yang mentafsir cita rasa muzik kini. “Lain Semesta” mampu menjadi benchmark terbaik untuk pendengar tempatan meraikan Fiza sebagai penyanyi yang berpotensi besar.
ARTIKEL BERKAITAN