
Lagu: Lembayung Tari
Persembahan: Wany Hasrita
Komposer Lirik: Hael Husaini / Iqie Hugh
Produser: Iqie Hugh
Seperti sekejap masa melihat gagasan penyanyi era 2015 bertumbuh menjadi matang seiring usia bermuzik. Wany yang kita kenal dengan “Menahan Rindu” bersama rakan-rakan bakat muzik FMC lainnya seperti Tajul, Haqiem Rusli, Ernie Zakri antaranya bertumbuh dewasa dan jelas dengan muzik yang mereka mahu ketengahkan.
Atas perjalanan itu ada percubaan mengena tidak kurang juga yang semakin dilupakan. Namun Wany memiliki rangkaian lagu-lagu yang kuat juga sebenarnya. “Canggung”, “Terlalu Memuja” dan “Belenggu Rindu” bersama Jamal Abdillah melengkapkan portfolionya sebagai penghibur Pop.
Namun itu mungkin sebahagian sahaja kekuatan Wany sebagai penyanyi yang dikenali. Ruang untuknya bertumbuh (evolve) masih banyak tetapi bagai tersekat perjalanannya. Sejak dua tiga tahun kebelakangan Wany agak struggle dalam mendapatkan hits yang membantunya untuk berada di tahap lebih baik.
Penghasilan lagu-lagu seperti “Madu Dua”, “Makan Cintaku” sehingga duet bersama Khai Bahar menerusi “Berbagi Hati” kurang daya tarikannya untuk kita sebagai pendengar meraikan bakat Wany. Tapi saya itu fasa, Wany bagaimanapun tidak berhenti menghasilkan lagu dan itu hal yang lebih penting sebetulnya.
Sebulan lalu, “Lembayung Tari” menjadi pertaruhan baru Wany untuk mengembalikan minat pendengar pada muziknya. Menjadi single ketiga karya cipta Hael Husaini, kali ini Wany tampil lebih menjerat dan mengikat. Pesona pada persembahan keseluruhan nyata lebih menarik dan mengusik keterujaan saya untuk menikmati lagu ini.
Hael seperti biasa memiliki ilham baik untuk pendengar terikat dengan melodi penciptaannya. Lagu ini sebetulnya memiliki formula serupa dengan apa yang ada pada “Canggung”, “Anta Permana” dan “Belenggu Rindu” tetapi dengan versi yang ditinggikan kemasan bunyinya untuk kedengaran lebih organik dan langsung tanpa kedengaran terlalu programming (walaupun ya sebahagiannya saya pasti ia terhasil diprogram) namun setidaknya ia tidak superficial seperti “Canggung”.
Selain kekuatan pada keseluruhan melodi dengan korus yang begitu sangat baik dan sedap – Lagu ini benar-benar digerakkan persembahan vokal Wany yang semakin matang. Setiap butir pada pengucapannya jelas memaknakan bait lirik yang ditulis.
Lenggok dan feel Wany juga beralun seiring kehendak lagu tanpa kedengaran berlawan dengan kemasan muzik yang disiapkan. “Lembayung Tari” mampu menjadi satu pertaruhan yang baik mengembalikan ingatan kita yang mungkin sudah lupa pada Wany. Melod, vokal, lirik menyatu sempurna dalam sebuah produksi muzik yang memiliki momentum, dinamik dan terhasil cukup kemas.
7.5/10
ARTIKEL BERKAITAN