
Lagu: Break
Persembahan: Misha Omar
Komposer / Lirik: Melly Goeslaw
Produser: Tohpati
Satu hal yang paling saya suka tentang Misha Omar, dia tidak terburu dalam mengeluarkan lagu-lagu baru. Kalau dilihat jarak antara Sampai Bila, Tanpa Rela dan Masihkah Ada Rasa Itu setidaknya berselang dua tahun antara satu sama lain.
Namun biar begitu, ketiga-tiganya memiliki impak yang besar dalam karier bermuziknya. Sehingga hari ini saya kira kita semua masih mampu melayani “Sampai Bila” biar sudah tujuh tahun beredar. Magisnya masih dirasai sehingga kini.
Tahun lalu Misha hadir sederhana namun masih beremosi lewat “Masihkah Ada Rasa Itu” dan sebetulnya saya akan selalu terlarut dengan persembahan poetic Ballad “Tanpa Rela” yang terhasil puitis dan syahdu sekali penulisan liriknya. Dan penyampaian Misha? Tidak diragukan – menyentuh.
Tidak lagi mahu mengambil masa yang panjang, “Break” menyusul sebagai pertaruhan terbaru yang sekali lagi menjual emosi terbaiknya dalam penyampaian yang sebaiknya bercerita lewat melodi dan lirik yang terhasil.
Lebih istimewa kali ini, Misha Omar melangkah ke seberang menggugah ilham kreatif Melly Goeslaw yang sudah diperakui dalam merenggut rasa lewat melodi-melodi karya ciptanya bersama produser Anto Hoed.
Namun kali ini, melodi Melly ditata kemasan muziknya oleh produser on demand, Tohpati (Tak Ingin Usai, Pesan Terakhir, Tega) menjadikan produksinya ada sedikit perbezaan dalam berbanding apa yang Anto Hoed hasilkan. Hal yang sama dilakukan Shanna Shanon menerusi hitsnya “Rela”.
“Break” terhasil syahdu dalam naratif penuh kecewa yang ditulis. Melodi dan liriknya menyatu baik sebagai sebuah kelangsungan naskhah melodi galau yang pasti akan dimuat tambah ke dalam senarai lagu yang dimainkan penggemar lagu seperti ini.
Apa yang melengkapkan idea pada kesempurnaan pada lagu ini tentu saja persembahan Misha Omar sebagai pelantunnya. Sejujurnya jika ia bukan dipersembahkan Misha mungkin saya akan ambil masa juga untuk beri perhatian pada penciptaan yang tipikal idea-idea Melly ini.
Namun istimewanya seorang Misha Omar itu dia berjaya mengikat saya untuk menyenangi naskhah begini menerusi penghayatan kelas satunya. Misha saya kira satu dalam banyak-banyak penyanyi yang benar-benar faham kehendak bercerita dalam lagu. Banyak yang ada suara sedap tapi tak semua bila menyanyi itu kita rasa serasa-rasanya.
Dan atas pemahaman itu, apa yang dia sampaikan menusuk terus pada pendengaran kita sebagai pendengar. Jika anda seperti saya yang kurang gemarkan Balada meruntun sebegini juga tiada masalah untuk menyenangi hasil lagu sebegini kerana saktinya yang ada pada seorang Misha Omar itu mengubah seketika selera dan persepsi pada penghasilan lagu sebegini.
Liriknya seperti biasa bergerak atas persoalan ke mana arah cinta harus terus berjalan dalam perdebatan rasa dan emosi. Hal ini jelas dalam bait “Kemana sekarang cinta kan berjalan // Sedangkan rasa mu dan rasaku telah hilang.” Dan Melly menerusi penulisannya meneruskan misi women empowerment dengan berkeras cinta yang ada harus berhujung. “Sekarang kamu dan aku break”
Saya harus memuji cara styling vokal misha dibentuk. Korusnya yang berulang-ulang di bahagian hujung akan jadi sangat bosan jika tiada modulasi pada cara nyanyian. Namun korusnya menjadi semakin baik dan sedap didengar dengan cara nyanyian yang dibentuk dan hal ini sekali lagi paksinya pada penghayatan Misha.
“Break” is a bop for Ballad di lingkungan muzik nusantara. Penggemar lagu sebegini akan sentiasa ada, yang mahu hati dan rasa mereka bagai dicarik-carik kepedihan silam. Lagu-lagu untuk yang in denial atau tak mahu move on. Di tangan Misha Omar, Balada begitu menjadi istimewa sekali dengan penceritaannya yang terhasil atas satu landasan kejujuran dan pemahaman kehendak teks lirik juga melodi yang ditulis.
7.3/10
ARTIKEL BERKAITAN