
Lagu: Sangkar Derita
Artis: Haqiem Rusli
Komposer / Lirik: Haqiem Rusli / Acap S
Susunan Muzik / Produser: Bajai / Reza Ramsey
Saya prejudis sebetulnya ketika awal lagu ini diedarkan. This is just another leman song and why do we need more? Kalau kita masih boleh melayani Iklim, Slam dan Ukays? kenapa perlu lagi lagu yang serupa. Namun fenomenanya lagu ini membuatkan saya curious mencari tahu apa yang ada pada lagu ini digilai sebegitu dasyat sekali.
Kali kedua tidak juga kali ketiga mendengarnya juga masih belum mampu membuatkan saya bertahan ke hujung lagu. Langsung saya lupakan saja percubaan untuk menyukai lagu ini. Just maybe this is not for me macam tulah. Namun sehinggalah menonton persembahan Haqiem di semi final Muzik-Muzik yang lalu, perspektif saya berubah.
Okey kita mula dengan persoalan mengapa? Kerana kalau diikutkan struktur lagu ini sekadar mengikut template Balada 90-an berdarah hidung macam kan there’s no tomorrow tetapi satu hal yang membuatkan saya puas dan menyenangi lagu ini adalah satu kerana suara emas dan feel luar biasa Haqiem Rusli.
Dan kedua adalah kerana susunan muzik dan produksi lagu yang cukup solid, kemas. Lantas saya mencari tahu siapa orang yang bertanggungjawab di sebalik kedua-dua hal ini menemukan saya dengan nama Bajai a.k.a Reza Ramsey (Tilu) yang banyak memberi kemasan muzik lagu-lagu ciptaan Amylea juga Farouk Roman.
Lagu ini memiliki standard kualiti Balada yang cukup bagus sebetulnya menyeimbangi kehendak melodi ciptaan Haqiem dan juga penceritaan pada penulisan liriknya. Haqiem penulis lagu-lagu Balada yang bijak dalam meramu acuan melodi yang mengikat. Hal ini sudah saya perhatikan sejak penghasilan “Di Sebalik Rahsia” bersama Sharon Paul dan sebelumya Haqiem sudah membuktikan pada umum dengan penghasilan lagu “Mimpi” yang juga menjadi salah satu lagu popularnya sehingga hari ini.
“Sangkar Derita” benar-benar dibentuk dalam acuan muzik 90-an yang sound dihasilkan lebih tastefully produced. Saya kira tidak salah meletakkan bagusnya lagu ini sama seperti “Bukan ku Tak Sudi” (Disusun Ajai), “Tak Mungkin Berpaling” (Saari Amri) dan “Mengintai Dari Tirai Kamar” – leman yang ada standard berbeza. Lagu-lagu leman Saari Amri atau Johari Teh untuk Slam, Ziana Zain dan Exists lebih berkualiti berbanding lagu-lagu leman Eddie Hamid, Lan Laga atau Patrick Kamis pastinya.
Dan dalam kes “Sangkar Derita” lagu ini jatuh pada standard leman Saari Amri dan Johari Teh. Atas alasan itu jugalah “Sangkar Derita” saya kira lagu leman terbaik yang kita ada sehingga hari ini. Yang mampu mencapai standard Saari Amri itu tidak banyak tetapi ada pada lagu ini.
Korusnya semakin didengar semakin kecanduan. Saya kira itu sakti lagu ini yang memiliki satu hal yang banyak lagu lain kurang ada iaitu nilai malar segarnya (evergreen). Nyanyian Haqiem top notch, clean seperti biasa. Saya perhatikan di beberapa bahagian air lagunya benar-benar mengikut standard nyanyian lagu-lagu leman berbanding apa yang kita dengar di lagu “Segalanya” atau “Di Sebalik Rahsia”.
Melodi lagu ini sebuah representasi pendengar mass yang sebenar. Yang sentiasa dahagakan sesuatu yang bersifat meruntun dan membelah rasa namun cukup diselamatkan dengan kemasan muzik yang menjadikan ia sebuah naskhah yang tidak lemau dan ada dinamik muzik yang baik. Saya juga percaya lagu ini akan memiliki hayat yang panjang untuk terus didengarkan berganti generasi.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN