
Aku Malu Aqeesh Aleeya
Tidak pernah lekang dengan bakat baru yang sentiasa mahu berkongsi bakat, Hurr.TV memperkenalkan artis rakaman terbaru mereka, Aqeesh Aleeya yang tampil dengan single perdana berjudul “Aku Malu” yang mula diedarkan Ogos lalu di semua gedung muzik digital
Lagu yang dicipta khusus komposer dan produser muzik DJ Fuzz dengan kerjasama tulisan lirik oleh Hez Hazmi ini tampil dengan nuansa Pop catchy yang menjadi signature muzik DJ Fuzz.
Bakat Aqeesh mula dicungkil menerusi program Ohsem Malaysia (BOM) 2017 anjuran hurr.tv yang mengangkat Aqeesh Aleeya sebagai Juara pertandingan pencarian bakat yang berlangsung pada 23 Disember 2017 lalu.
Pada usianya yang muda Aqeesh (14) telah mencipta momen kejayaan yang membanggakan. Pada usia 9 tahun, dia telah menjuarai pertandingan ‘Bintang Kecil RTM 2013’ peringkat negeri Selangor sekaligus melayakkan beliau menyertai pertandingan akhir ‘Bintang Kecil Kebangsaan RTM 2013’.
Kerjasama dengan DJ Fuzz dan Hez Hazmi bermula sejak Februari 2018. Pembikinan lagu ‘Aku Malu’ dilakukan pada 29 Mac 2018 dan secara amnya menggambarkan situasi di mana seorang gadis/jejaka yang jatuh cinta dalam diam kepada seseorang yang diminati.
Menurut Pengarah Saluran hurr.tv, Elaine Daly, “Lagu ‘Aku Malu’ ini adalah satu karya yang saya pasti akan menarik perhatian pendengar dengan irama pop dance yang ditampilkan. Konsep lagu ini juga amat sesuai dengan karakter Aqeesh yang sememangnya lincah dan bertenaga. Kami juga amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan komposer serta penulis lirik berbakat DJ Fuzz dan Hez Hazmi. Dalam masa sama, kami sedang merangka beberapa jelajah bagi memperkenalkan lagu ‘Aku Malu’ kepada orang ramai.”
Muzik video “Aku Malu” sudah berada sejak September lalu sudah boleh ditonton di saluran YouTube rasmi hurr.tv
Trivia Aqeesh Aleeya
- Pada usia 9 tahun, beliau telah menjuarai pertandingan ‘Bintang Kecil RTM 2013’ peringkat negeri Selangor sekaligus melayakkan beliau menyertai pertandingan akhir ‘Bintang Kecil Kebangsaan RTM 2013’.
- Dalam edisi pertandingan berkenaan, Aqeesh dinobatkan sebagai Peserta Terbaik Semenanjung.
- Pada tahun berikutnya, Aqeesh sekali lagi berjaya melayakkan dirinya menyertai pertandingan ‘Bintang Kecil Kebangsaan RTM 2014’ dan diumumkan sebagai Peserta Terbaik Semenanjung juga dinobatkan sebagai naib juara keseluruhan.