
Lagu: Sayap
Artis: Elly Mazlein
Komposer / Lirik: Naim Daniel / Omar K / Iqie Hugh
Nama Elly Mazlein dalam pasaran muzik secara amnya mungkin tidak begitu diraikan dengan besar. Kelibatnya bermuzik sejak era 90-an juga agak ditenggelami bakat-bakat lain yang nyata lebih menyerlah dengan originality vokal berbanding Elly. Namun momennya dalam bidang muzik masih ada walau tidaklah konsisten.
Setelah fasa Gegar Vaganza Elly sempat hits dengan rakaman semula “Empat Dara” bersama Faizal Tahir dan menghasilkan sebuah single berjudul “Dusta Cinta” yang mengembalikan ilham Balada “Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan” dan “Bungaku Bakawali”.
Setelah itu namanya lebih dominan sebagai pengacara dan DJ radio. Terkini bagi meneruskan minat serta kelangsungan bermuzik sebagai seorang penyanyi senior Elly Mazlein kembali menghasilkan sebuah single berjudul “Sayap”.
Dihasilkan tenaga baru Pop tempatan, Naim Daniel dan Iqie Hugh bersama Omar K – “Sayap” terhasil dalam standard Balada yang semakin banyak di pasaran muzik hari ini. Melodi begini sudah diguna ulang formulanya dalam lagu-lagu Naim sebelum ini yang menjadikan ia agak predictable.
Saya mencari apa yang istimewa lagu ini namun mungkin secara peribadi saya tidak menggemarinya. Idea masih sama, execution juga begitu-begitu sahaja. Vokal Elly juga saya kira tidak begitu evolve. Seperti sama sahaja dengan apa yang kita dapat dalam hitsnya di era 90-an.
Namun yang pasti ia akan membahagiakan penggemar Elly Mazlein yang menantikan lagu-lagu baru daripadanya. “Sayap” percaturan yang mengena dengan penggemar lagu-lagu Balada Melayu namun jika anda seorang yang mahu dicabar pendengaran dengan sound yang baru, “Sayap” tiada apa-apa yang baru.
4.6/10
ARTIKEL BERKAITAN