
Lagu: Pijak
Artis: Zizi Kirana
Komposer / Lirik: Mambang / Navigator / Zizi Kirana
Zizi Kirana antara bakat rapper wanita tempatan yang saya kira sudah semakin yakin dengan langkah bermuziknya. Sejak cukup booming dengan lagu-lagu seperti “Nak Ke Taknak” dan “EH” sehingga kolaborasi bersama Faizal Tahir dan Elly Mazlein menerusi “Empat Dara” semuanya semakin diterima mudah pendengar tempatan.
Zizi biar perlahan langkahnya untuk benar-benar diterima namun belum lagi mengalah. Disusun dengan aturannya tersendiri, ada yang berjaya namun pastinya ada juga jalan-jalan sukar yang dia lalui untuk membina keyakinan pendengar. Namun hari ini dengan usahanya nama Zizi Kirana sudah stabil di pasaran semasa.
“Pijak” menjadi sebuah lagi lagu yang akan meneruskan legasi muziknya. Hadir dengan esen muzik Hip-Hop beriring bait-bait lirik pedas kritikan sosial hari ini, “Pijak” terhasil dengan esen muzik Zizi yang begitu jelas sifatnya.
Seawal lagu ini dibuka sahaja Zizi sudah memberi pesan keras “Banyak monyet naik toncet, Bila duit masuk kocek” sebelum menjadi lebih sinikal di bait “Maruah aku kau nak beli, Aku tak jual kau tak reti”.
Sebagai seorang yang jarang enjoy dengan persembahan Zizi dalam lagu-lagunya saya kira cara terbaik untuk saya mendalami adalah dengan melewati penulisan liriknya. Dan saya dapat dalam “Pijak” untuk memahami visi muzik Zizi sebagai penghibur yang datang dengan tanggungjawab sosial kerana jika sekadar melewati muziknya to be honest tiada apa yang terlalu baru dan menarik untuk dikupas.
5/10
ARTIKEL BERKAITAN
Standard Pop Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Ditinggikan Menerusi “Debu”