
Lagu: Waktu
Artis: Hasif Upin / Ziana Zain
Komposer / Lirik: Firdaus Rahmat / Iqie Hugh / John Jeeves
Produser: Iqie Hugh
Untuk seorang penyanyi yang tidak memiliki lagu baru selama lebin 10 tahun lamanya dan kekal diingati, didengari juga terus didendang lagu-lagunya biar dari sekecil bilik karaoke sehingga sebesar mana pentas pertandingan nyanyian yang ada di Malaysia, Ziana Zain itu legenda.
Bukan apa, saya kira jika penyanyi lain pasti sudah dilupakan, namun begitulah kuatnya sakti seorang Ziana Zain – sentiasa disebut namanya dan sentiasa dinantikan kemunculannya. “Waktu” menjadi pertaruhan terbaru yang menggandingkan Ziana bersama bakat pelapis, Hasif Upin.
Seawal lagu ini dibuka dengan kemasan string sudah membunga dan menarik senyuman ke telinga. Komposisi Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves sudah banyak memenuhi pasaran muzik tempatan akhiran ini dan kali ini mereka bertiga menerajui sebuah lagi penghasilan lagu yang cukup grand sifatnya.
Melodinya mengikat biar harus mendengar sekali sahaja. Terutama di bahagian korusnya to be honest saya sifatkan the best chorus dalam mana-mana Balada Melayu yang terhasil tahun ini. Susunan string Ronald Viandra dan Sena Samino Isvara benar-benar memberi nyawa untuk melodi lagu ini bergerak lebih dinamik.
Penulisan lirik “Waktu” terhasil cemerlang, bait-baitnya terisi singkat namun jelas dan terus. Penceritaan Ziana dan Hasif dalam nyanyian mereka sederhana namun cukup memaknakan isi cerita. Hal ini cukup jelas di bahagian korusnya “Ragut separuh nyawa // Rapuh hasrat yang menjauh” sebelum disambut “Larut dalam lautan // Paut atas arus cinta // Makin tenggelam dalam kehampaan … Waktu.” Saya tidak pasti siapa yang menulis bahagian ini but it’s perfect.
Saya senang mendengarkan kolaborasi ini – seimbang, baik melodi, persembahan vokalnya setara tanpa kedengaran berlawan-lawan antara satu sama lain. It’s a great Ballad. Penghasilannya melengkapi antara satu sama lain. Tidak bingit, tidak juga meleweh dan yang paling penting tidak berlebihan. AJL? Yes.
9.8/10
ARTIKEL BERKAITAN