
Kali pertama mereka muncul circa 2015 dengan debut “Take Heart” , The Sam Willows membuka satu formasi muzik Pop yang sedikit berbeza pasaran muzik Singapura yang sebelum ini kita hanya tahu adalah Imran Ajmain dan Taufik Batisah. Single Take Heart dan All Time High saya kira berjaya lift up standard muzik pasaran Pop seberang dengan beat, padua vokal dan muzik yang cukup segar.
Seiring tahun beredar dengan kematangan muzik dan pengalaman, The Sam Willows menjadi semakin memikat ketika mereka berkolaborasi bersama GAC menerusi lagu Save Myself yang beredar tahun lalu.
Berada dalam jaluran muzik serupa, saya kira kolaborasi ini cukup penting dalam perkembangan muzik dua negara Singapura – Indonesia dari segi pemasaran muzik yang lebih luas sifatnya.
Tahun ini, mereka muncul dengan abum penuh kedua “I Know But Where” yang sekali lagi meneruskan momentum muzik yang dicipta sejak mereka awal memulakan karier pada tahun 2012. Album yang beredar Julai lalu ini hadir lengkap dengan sebelas lagu serba moden, segar dan terkini.
Album ini dibuka penuh tenaga dengan lagu “Baby Don’t Shy” yang penuh groove. Seawal intronya sahaja sudah memikat dan ia jadi lebih menarik di bahagian korus. Diteruskan dengan “Keep Me Jealous” dan “Lie Like A Lover” menjadikan album ini solid sebagai naskhah Pop yang baik.
“Say So” menjadi lebih lembut dan menyenangkan. “Pappa Money” antara all time favorite saya dalam album ini. Groove mereka semakin menjadi dan kemas sekali penghasilannya. Lagu-lagu begini punya persamaan dengan kebanyakan lagu-lagu GAC.
The Sam Willows saya kira semakin jelas dengan visi muzik mereka menerusi album kedua ini. Vokal Benjamin saya kira killer pada setiap lagu, strong dan soulful dalam memberi justifikasi pada lagu-lagu yang cukup baik dalam album ini.