Program “Big Stage” yang memasuki musim kedua sudah bakal menemukan episod akhirnya minggu ini dengan menyaksikan lima finalis – Neeta Manisha, Han Byul, Dinda Permata, Adzrin dan Irfan Haris yang bakal berebut gelaran juara.
Nama “Neeta Manisha” antara yang paling menarik perhatian dengan keunikan vokal, attitude serta stage presence yang cukup meyakinkan. Untuk dia bergelar juara sudah hampir pasti jika persembahan di pentas final nanti dilakukan dengan lebih meyakinkan.
Kelibatnya bersama band I Am Neeta dengan barisan hits strim tertinggi di Spotify seperti “Sakit” (5 Juta), “Marry Me” (6 Juta) dan “Ilusi” (1 Juta) kiranya sudah cukup untuk dia mengumpul penggemarnya sendiri.
Untuk bergerak solo, Neeta mungkin boleh keluar dari kepompong band Pop dengan memberi pendekatan lebih Pop dan R&B yang mampu menyerlahkan pesona vokalnya. Persembahan Neeta di lagu “Ku Bersuara” cukup membuktikan kemampuannya untuk bergerak lebih besar lagi skala muziknya.
Mendahului markah di pentas separuh akhir dengan duet bersama Hael dan persembahan solo menerusi lagu “Potret” mengukuhkan lagi nama Neeta sebagai calon juara yang akan terus bersinar kelak biar tamatnya program ini sepertimana Sarah Suhairi di musim pertama.
Neeta lengkap sebagai sebuah pakej bergelar Pop Star yang bakal meneruskan legasi Pop tempatan yang lebih berkelas. Persembahan live-nya di pentas persis spirit Dayang Nurfaizah seawal berada di pentas nyanyian satu ketika dahulu.
Dengan pengalaman demi pengalaman yang bakal dikutip Neeta mampu menjadi ikon Pop jika dilancarkan urusan kerjayanya dengan pengurusan karier yang betul. Apa yang dia perlukan sekarang adalah material lagu yang baik bagi meneruskan kelangsungan kariernya kerana kemampuannya menyanyikan lagu dengan caranya tersendiri itu sudah menjadi satu bonus buat Neeta.