Prisma muzik tempatan tahun ini mengujakan dengan jumlah album penuh yang lebih banyak berbanding beberapa tahun sebelumnya. Dan apa yang lebih manis nama-nama senior dalam persada muzik menghasilkan album-album yang cukup solid kualitinya.
Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Sheila Majid, Ella, Search, Atilia, Noh dan Monoloque saya kira sudah melakukan tugas dan tanggungjawab mereka menghidupkan pasaran muzik yang lebih kompetitif dan beragam.
Saya secara peribadi sangat berterima kasih pada bakat muzik yang masih mahu melaburkan sejumlah wang yang besar untuk penghasilan album di saat generasi hari ini yang tidak lagi peduli tentang kepentingan fizikal album dan hanya mahu hiburan dalam bunyian semata-mata.
Album fizikal sangat penting sebagai portfolio yang boleh disimpan dan dibanggakan bagi satu jangka masa panjang. Hal-hal ini terbukti jelas pabila harga album Too Phat seperti 360 dan Whuttadilly dijual hampir RM500 untuk cetakan pertama hari ini.
Nilai serupa juga ditawarkan untuk album-album Butterfingers (Malayneum, Transcendence) dan Ning Baizura (Natural Woman) yang dianggap sebagai rare item atau saya sebut gems dalam pasaran muzik tempatan. (Anda boleh rujuk hal yang saya sebutkan ini dalam group FB: Group Jualan Kaset/EP/CD /LP Online)
Begitu tinggi sekali nilai album-album fizikal ini selepas lebih sedekad di pasaran yang dicari semula kerana tingginya kualiti muzik yang dipersembahkan. Ini belum lagi album-album artis 80-an seperti Wann, Sharifah Aini serta KRU, O@G, Ella (EL), Zainal Abidin (Gamal), Nora (Kirana) dan semua album Sheila Majid cetakan Jepun yang dijual pada harga lebih tinggi berbanding harga asal.
Value begini yang saya kira semakin tiada dalam perkembangan strim digital muzik. Sebagai seorang yang pernah bekerja secara langsung dalam industri strim muzik tempatan – saya melihat nilai sentimental pengedaran muzik secara digital hampir tiada.
Sense of belonging – perasaan memegang fizikal CD dengan inlay album serta membaca lirik, kredit dan pengalaman penyanyi dalam menghasilkan album itu tiada dalam pengedaran muzik secara digital.
Hal ini sangat penting bagi saya kerana dengan membaca inlay kita sebagai pendengar dapat terdidik secara tidak langsung tentang penghasilan sesebuah album dan pada masa yang sama lebih menghargai karya yang dihasilkan.
Sayangnya, generasi masa hadapan tidak lagi dapat merasai nilai-nilai ini andai penerbitan album fizikal dimatikan dengan pengaruh digital. Terus terang saya tidak memiliki ilmu muzik secara formal tetapi saya banyak belajar daripada membaca inlay dalam album. Siapa yang menulis, mencipta, siapa pula yang bermain gitar, drum dam siapa pula yang membuat susunan muzik menjadi seindah yang tercipta.
Excitement begini yang saya kira faktor penting mengapa muzik itu istimewa dan membuat kita dekat dengan setiap karya yang dihasilkan. Saya ulang sekali lagi sense of belonging – memegang, mendengar, membaca dan menjadi sebahagian daripada penghasilan album tersebut.
Dan saya yakin kerana hal-hal inilah membuatkan nama-nama senior seperti Ella, Search, Siti, Dayang dan Sheila masih menghasilkan album fizikal kerana mereka tahu akan nilai-nilai ini akan terus dihargai dalam masa sepuluh, dua puluh dan tiga puluh tahun akan datang. Sepertimana kita masih menikmati P.Ramlee, Sudirman, KRU dan Siti.
Album-album mereka akan terus menjadi rujukan kerana visibility itu masih ada. Dan satu perkara yang anda perlu tahu tentang strim digital adalah bergantung pada lesen yang dibayar. Jika syarikat pengedaran tidak lagi mahu meneruskan lesen digital maka lagu-lagu serta album-album ini akan diturunkan dan anda tidak lagi dapat menikmati muzik tersebut di platform digital (kecuali YouTube kerana tak perlu lesen).
Tahun lalu, Muzik Kita telah memilih Pitahati (Selamat Datang Ke Panggung Suara), Faizal Tahir (Anatomi), Anuar Zain (Self-titled), Estranged (Sepenuhnya), Ali Aiman (Circles) dan Altimet (Amboi) sebagai album terbaik 2016. Tahun ini hampir semuanya sudah ditulis review dalam posting sebelumnya dan kami menyenarai pendek 10 Album Terbaik tahun ini mengikut turutan seperti berikut. #semogabermanfaat

DAYANG NURFAIZAH
Produser: Aubrey Suwito / Ajai / Genervie Kam / Omar K / Hael / Ezra Kong / Aizat Amdan / Tam Spider
Kali terakhir kita memiliki sebuah killer album adalah debut Hafiz (2012) yang hampir kesemua lagu dalam album tersebut menjadi hit belaka. Dan setelah lima tahun Dayang Nurfaizah memecah rekod tersebut dengan album self-titled Balada sepenuhnya ini. Pada tahap ini saya fikir Dayang sudah bertemu formula tepat yang seimbang dengan apa yang pasaran mahu dengan apa yang dia sendiri mahu tanpa berkompromi dengan penghasilan lagu yang biasa-biasa. Album ini bergerak cukup cemerlang sebagai sebuah persembahan Pop terbaik sepanjang tahun!
ELLA / PEACE.LOVE.RINDU
Produser: M.Nasir / Edrie Hashim / Omar K / Ezra Kong / Sam Bunkface / AG Coco
Produksi album kelas satu yang meneruskan segala kehebatan album Ella U.S.A dan EL. Peace Love Rindu memiliki semua estetika muzik Ella sepanjang 32 tahun dalam pasaran muzik tempatan yang berjaya dimodenkan dengan cukup hebat sekali. Album ini bergerak sebagai satu pelayaran muzik cukup solid dalam persembahan penuh jiwa dan semangat Ella yang cukup kuat!
MALIQUE / TKO: PEJAMKAN MATA
Produser: Malique
Malique menyifatkan TKO sebagai album kompilasi. Tapi naskhah ini terlalu bagus untuk saya pinggirkan sebagai sebuah album yang hebat. Malique individu bijak merencana muziknya tanpa peduli apa yang pasaran mahukan. Malah saya fikir dialah yang berjaya mencorak Hip-Hop dalam acuan Melayu sehingga menjadi ikutan rapper baru yang mahu menjadi sehebatnya. Pejamkan Mata kental jiwa Pop Melayu nya dengan lirik geniusnya buat saya fikir siapa yang boleh menulis sepuitis Malique?
SHEILA MAJID / BONEKA
Produser: Sheila Majid / Tohpati / Irwan Simanjuntak / Jenny Chin
Boneka sebuah persembahan Pop malar segar bagi saya. Album ini berjalan atas aliran Pop Sheila yang sudah berusia lebih 30 tahun tetapi lebih polish, fun, seronok didengar. Dengar sahaja lagu-lagu seperti Boneka, Melukis Dunia dan Lebih Dewasa – saya kira lagu-lagu begini tidak akan kedengaran tua atau old-fashion malah ballad dalam album ini juga punya nilai evergreen yang cukup tinggi.
SEARCH / KATHARSIS
Produser: M.Nasir / Search
Seawal trak pembuka, Gagalista sehingga Bebas Liar – rif gitar keras, derum deram, sehingga feel penyampaian Amy Search dalam Katharsis tidak mengecewakan langsung. Sidang Kangaroo sahaja sudah menjadi bukti kugiran legenda ini seharusnya menjadi rujukan mana-mana anak muda yang mahu bikin rock dengan citarasa lokal yang berkelas. Nama Yang Kau Lupa antara lagu terbaik album ini yang membawa penjenamaan muzik Search berada di standard yang sangat tinggi.
NOH SALLEH / ANGIN KENCANG
Produser: Adink Permana / Romondo Gascaro
Album ini dibikin semula dengan cukup solid sekali. Saya sangat setuju dengan idea Noh merilis kembali Angin Kencang kerana terlalu banyak lagu dalam album ini yang potensinya cukup besar untuk dipasarkan dengan justice pemasaran yang betul. Dengan 3 lagu baru melengkapkan album ini Renjana, Mr. Polia dan produksi maha hebat Sarawak yang jauh membuat saya melayang kagum dengan kualitinya. Syabas Noh!
EYZA BAHRA / SUARA
Produser: DJ FUZZ
Seperti review saya sebelumnya, Eyza Bahra adalah Suara yang harus didengar! Everything about this album cukup tersendiri. Saya paling suka rendisi serba baru Kau Yang Ku Nanti (Yusni Hamid) yang punya elemen ska / reggae yang cukup fun juga karakter vokal Eyza yang cukup unik sekali. Pengisian Suara berkelas dan cukup ramuan rasanya.

MONOLOQUE / JANGAN PUJA SAMPAI KECEWA
Produser: loQue / Aiyad Sakti / Hafiz Ahmad
Biar secara peribadi saya lebih sukakan produksi album Jejak Tanah namun album ini memiliki sebuah lagu yang cukup besar jiwanya. Selagi Ada Waktu adalah lagu terbaik dalam album ini. Feel lagu ini luar biasa, penulisan Loque sekali buat saya kagum. Lagu ini ibarat satu kalam humanisme yang cukup religious digerakkan dengan penciptaan melodi yang bagus dan feel Loque yang baik dalam caranya tersendiri.
ATILIA / NO.3
Produser: Atilia / Jason Voo / TK / Adam Sofian
Saya sejujurnya gembira dengan kemunculan semula Atilia dengan album penuh No.3 ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini Atilia evolve sebagai pemuzik juga penyanyi yang tahu apa terbaik buatnya. No.3 bukan untuk pendengar radio semasa atau yang masih mengharapkan esen Sangkar tetapi sempurna bagi mereka yang faham struktur karier muzik penyanyi ini.
ORKES A. HIZADIN
Produser: AG Coco
Kelebihan Orkes sebetulnya adalah pada penulisan lirik mereka. Segala kritikan sosial yang cukup real, brutal dan telus ada dalam teks lagu-lagu mereka. Untuk faham lebih dengan apa yang saya maksudkan anda boleh baca review maha panjang saya untuk debut kugiran ini.