
Album: LIVE Session
Artis: Sang.Rawi
Produser: Farouk Kamil / Sang.Rawi
Perjalanan muzik anak-anak muda yang bergerak secara indie tebentang dalam satu lapangan bermuzik yang cukup luas tanpa perlu membataskan diri mereka untuk terikat dengan ilham komersil semata.
Hal-hal ini sesuatu yang cukup positif bagi perkembangan muzik temptan yang memerlukan warna berbeza daripada anak-anak muda ini.
Tahun lalu saya cukup terpesona dengan naskhah Folk “Margasatwa” menerusi single “Ego” yang terhasil dalam acuan muzik yang cukup berbeza. Selain Mafidz, Amir Jahari dan The Venopian Solitude.
Dalam laju mata menelek senarai pemuzik indie yang tersedia di katalog muzik Spotify, carian saya terhenti di sebuah kugiran yang dinamakan sebagai “Sang.Rawi”.
Mendengar EP Live Session mereka mengundang remang dalam enam lagu yang terisi di EP live ini. Pesona awal mereka tentu saja berawal di lagu “Raja” (Suffian / Sang.Rawi) dalam pesona muzik nusantara yang tidak perlu terlalu lama untuk mengembalikan ingatan saya pada karya-karya Zubir Ali, M.Nasir dan Kopratasa.
Penulisan lirik mereka tersusun indah dalam gaya bahasa yang kemas, tidak canggung bait-baitnya. “Hadirmu membawa sejuta hati untuk menari, merindukanmu.”
Keseronokan saya menikmati Sang.Rawi diteruskan dengan penampilan lagu “Maha Seni” (Sang.Rawi / Suffian) yang berawal dengan tiupan seruling yang cukup merdu sekali.
Penghasilan melodinya baik sekali, progres melodinya terhasil dalam sayu yang cukup humanis terutama di bahagian korus saat si vokalis melantun “Hadiahkanlah aku cinta, hanyalah padamu, hadiakan rasa rindu hanya padamu selalu.” dan disambung “Maha seni kembalikan maksud cinta yang sebenar”.
Saya mengulang dengar lagu ini sebelum saya ke lagu ketiga kerana saya tidak tahu bila kali terakhir saya mendengar sebuah gubahan melodi yang seindah, sesayu dan sedalam ini sekali perasaannya.
“Hilang” dan “Kau” meneruskan ilham muzik Nusantara Sang.Rawi dalam satu ambien menikmati muzik yang cukup mahal sekali pengalamannya.

“Joget Lanun” lebih fun dengan listrik lirik ketuhanan dalam bait-bait langgam mereka. “Oh pandanganmu seakan tiada wujud aku yang buta, tiada mengenal-mu yang maha melihat segala dunia.” dan “Semua menari dengan penuh cinta bersama bulan purnama, kekasih.”
“Terbang” menutup EP ini sebagai simbolik kepada pengenalan Sang.Rawi di pasaran muzik yang lebih besar skalanya pada masa akan datang yang pastinya akan lebih matang sebagai sebuah formasi kugiran muzik yang membanggakan.
Album ini mungkin sukar dihadam penggemar muzik mainstream namun andai kata anda lelah dengan kisah-kisah depresi Zynakal dan kisah buli YonnyBoii di lagu-lagu mereka, this one is for you. No obligation.
9/10
ARTIKEL BERKAITAN
Menyelisik Seni Bunyi & Listrik Lirik Penuh Humanisme “Margasatwa”