Ledakan Pop jiwang tempatan dengan formula yang dicipta Saari Amri antara yang paling berjaya sehingga hari ini. Suka atau tidak lagu-lagu ciptaan maestro Pop dan Balada ini telah mencorakkan seni muzik lokal khususnya yang sinonim dengan tema cinta.
Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang muzik, Saari Amri saya kira tahu apa yang dekat dengan jiwa pendengar tempatan – mendalami jiwa lembut, sensitive dan emosi pendengar Melayu khususnya.
Lagu-lagu popular seperti Seksa, Madah Berhelah, Gerimis Mengundang, Ramalanku Benar Belaka, Pelamin Anganku Musnah, Hajat dan ratusan lagu lainnya menceritakan sisi kecil jiwa anak-anak Melayu ini yang kecewa kerana cinta, putus harapan berkasih dan gelora emosi.
Saari Amri komposer yang bijak dalam hal ini. Dia menyelam perasaan individu dalam percintaan pada sudut paling dalam. Lihat sahaja lagu Hajat (Haida) dia berbicara tentang niat / kehendak seorang wanita dalam percintaan. Isu-isu feminisme ini diteruskan lagi dalan hit malar segar Pelamin Anganku Musnah (Azie) selain kisah darjat (Kekasih ku Di Menara) dan cinta tiga segi dalam lagu Di Sana Menanti Di Sini menuggu.
Ini isu-isu yang kita orang Melayu hadapi. Saya sebut hal remeh tetapi ini kita – suka bercinta, mengharap dan suka kecewa. Ya, suka kecewa. Kalau kecewa tu kira macam one of achievements dalam percintaan. Cinta dalam konteks Saari Amri tiada yang bahagia. Semuanya berakhir duka dengan tragedi yang bermacam cara.
Dan melodi-melodi balada Melayu ini ditulis liriknya sama ada Saari sendiri atau Mama Juwie, Aznida dan lain-lain penulis yang melengkapkan lagi naskhah Saari Amri dalam satu pengaruh yang cukup tersendiri.
“Sejujurnya saya bukan penggemar tegar lagu-lagu Saari tapi tidak saya nafikan dia seorang komposer yang cukup original dalam menghasilkan melodi sebegini.”
Penciptaan lagunya berteras jiwa Melayu dan beberapa lagu ciptaannya saya cukup sanjung tinggi akan keaslian penciptaannya.
Apa yang penting hamper ratusan lagu-lagu ciptaannya bersifat evergreen. Tidak ramai composer yang mampu mampu menghasilkan lagu bersifat evergreen sekali pun lagu-lagu mereka popular kerana belum tentu ia akan diputarkan atau mahu didengarkan pada masa lima atau sepuluh tahun akan datang.
Saya menghabiskan berminggu-minggu mendengar dan menganalisa lagu-lagu ciptaan Saari Amri dan berikut 10 Lagu Terbaik Ciptaan Saari Amri yang saya senarai pendekkan dan mengapa lagu-lagu ini saya sifatkan sebagai sentuhan emas komposer ini.
CINTA TAK KENAL SIAPA Aris Ariwatan
Saya sukakan suntikan elemen muzik Melayu dalam lagu ini. Penyatuan melodi, lirik dan feel Aris Ariwatan menjadikan naskhah ini cukup sempurna sekali. Ini antara all-time favourite saya sepanjang membesar dengan lagu-lagu melayu. Lagu ini asli dalam mentafsir lagu melayu asli dengan sentuhan balada yang cukup cemerlang produksinya.
GERIMIS MENGUNDANG Slam
Saya letakkan Gerimis Mengundang sebagai lagu evergreen terbaik yang pernah kita ada dalam sejarah penciptaan lagu-lagu pop balada tempatan. Sentuhan gitar akustik lembut di intro lagu ini sehingga killer chorus “Bukan sekejap denganmu, bukan mainan hasratku” cukup membuai sekali. Lagu ini sentiasa kedengaran sedap tanpa mengira peredaran zaman.
SEKSA U.K’s
Strumming gitar akustik dibalik vokal Amir pada intro lagu ini cukup haunting. Seksa sebuah lagi lagu ciptaan Saari yang mengambil ilham lagu melayu asli dalam balada 90-an. Penulisan lirik cukup puitis dan ikonik sekali. “Walaupun lena ku panjang, tiada mimpi bertandang. Menghitung hari berlalu seksanya aku.”
PUTUS TERPAKSA Ziana Zain
Ziana bukan nama asing dalam merakamkan lagu-lagu ciptaan Saari Amri. Madah Berhelah, Kekal dan Kemelut Di Muara Kasih antara yang paling dominan juga paling popular. Dan sehingga hari ini lagu-lagu ini masih mendapat high-rotation di corong-corong radio. Itulah magis melodi seorang Saari Amri.
KAU DIPAKSA AKU TERPAKSA Scan
Sejujurnya saya penggemar suara vokalis Scan, Azzan. Ada kemerduan dalam setiap bait lirik yang dinyanyikan. Bagi saya Azzan penyanyi yang faham teks lirik dan works well dengan melodi Saari berbanding Amir (U.K’S) yang agak bingit. Lagu ini antara yang paling sedap sekali.
SUCI May
Ilham balada dengan lirik humanisme dan ketuhanan ini cukup bagus sekali penciptaannya. Dibawa cemerlang vokalis May yang ketika itu Yantzen dengan persembahan vokal yang cukup memberi justifikasi pada teks lirik yang ditulis.
DITAKDIR KITA BERSAMA Mac Rahayu
Lagu ini ada esen Kemelut Di Muara Kasih sikit. Cukup leleh yang amat leleh tapi saya kira verse lagu ini is a killer! A very very good verse. Saya sangat sukakan transisi verse ke korus lagu ini. Flow yang disusun Saari sangat cantik sekali dalam bercerita menerusi melodi.
SEMBILU Ella
Antara lagu evergreen Ella dan Saari Amri. Sembilu bergerak dalam rock balada acuan Ella yang sedikit berbeza dengan apa yang kerap dibikin Saari. Lagu ini lengkap sebagai sebuah naskhah evergreen yang akan sentiasa segar buat pendengaran tempatan.
PELAMIN ANGANKU MUSNAH Azie
Azie one hit wonder yang paling hebat saya kira. Pelamin Anganku Musnah sebuah karya yang cukup ikonik sekali. Kisah impian cinta yang tidak sampai ke jinjang pelamin hanya Saari Amri dan Lukman S sahaja yang pandai buat. This is a masterpiece tak kisah la korang suka ke tidak – the fact is semua orang tahu akan kewujudan lagu ini.
MASIH TERSERLAH AYUMU Exists
Intro gitar dalam lagu ini is a killer. Vokal Ezad beri justifikasi terbaik untuk melodi Saari yang cukup hebat ini. Lagu ini punya paten muzik Exists dan di sini bijaknya Saari dalam setiap produksi lagunya kerana lagu sebegini anda tidak akan dapat dalam mana-mana lagu U.K’s atau Slam. Fundemental-nya serupa tetapi finishing keseluruhan lagu bikin ia berbeza antara satu dan lainnya.