
Perkara paling menarik tentang Muzik-Muzik saya kira adalah cabaran mencari yang terbaik dalam senarai paling banyak undian di carta saban minggu.
Anugerah Juara Lagu seperti yang saya sebut dalam artikel tahun lalu, (KLIK #AJL32 untuk artikel penuh) menjadi platform paling relevan dan seimbang dalam mencari lagu terbaik kerana saya percaya yang terbaik itu selain memiliki struktur penciptaan lagu, lirik yang puitis serta produksi cemerlang – ia perlulah bersifat Malar Segar!
Dan disebabkan itu lagu-lagu seperti Janji Manismu, Isabella, Sekadar di Pinggiran, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Terukir di Bintang, Jerat Percintaan dan lain-lain saya kira sememangnya menjadi pilihan terbaik untuk bergelar Juara Lagu (kecuali Potret – Akim & The Majistret sebab Assalamualaikum patut menang).
Tahun lalu seperti yang menjadi jangkaan semua, naskhah Hael & Ezra menerusi Jampi berjaya pulang sebagai Juara kerana faktor serupa. Popular, komposisi yang asli dan bersifat malar segar.
Tahun ini pertembungan junior – senior dalam perang suara dan gubahan lagu yang akan berentap bersaing dengan cukup sengit pastinya. Namun saya masih berharap tiada lagi filler untuk rating yang akan bertanding kali ini. Biarlah yang datang dengan kredibiliti muzik, lirik dan vokal cemerlang yang akan diperdengarkan di pentas final.
Nama-nama senior seperti Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Liza Hanim, Jaclyn Victor, Siti Nordiana dan Sarah akan beri satu pengalaman AJL paling menarik di pentas final
Namun dalam 30 lagu yang disenarai pendek ini saya agak terkilan tidak melihat Aizat – Sampai ke Hari Tua tersenarai sedangkan lagu tersebut lebih dulu dan lama dalam carta berbanding Syamel – Kau Pun Sama. Soal rezeki barangkali. It’s okay, naskhah-naskhah Aizat akan tetap akan menjadi all time favorite semua.

Hael muncul juara tahun lalu dengan lagu “Jampi” Gambar: Berita Harian
I would say Masdo boleh jadi calon juara lagu jika mereka mempertaruhkan Bunga tapi sayangnya Bercanda di Malam Indah menjadi percaturan mereka yang sekadar menyadur ilham twist sedangkan Bunga lebih original penghasilannya.
Dalam senarai 30 tahun ini ada 4 sahaja yang betul-betul menarik perhatian saya akan penghasilan lagu sebagai naskhah yang solid melodi, lirik, produksi muzik serta penyampaian pelantunnya. Dan empat lagu tersebut adalah
Sampai Bila
(Sharon Paul / Fedtri Yahya / Shah Shamshiri / Misha Omar)Layarlah Kembali
(Aubrey Suwito / Ad Samad / Dayang Nurfaizah)Nisan Cinta
(Hael / Ezra / Mike Chan / Siti Nordiana / Jaclyn Victor)Haram
(Hael / Ezra/ Dayang Nurfaizah / Hael Husaini)
Empat lagu ini solid sebagai naskhah studio yang saling melengkapi elemen awal yang saya kata tadi. Penciptaan melodi dengan lirik paling kemas berbanding lagu lain yang sama ada menjadi terlalu mellow (lembik) atau cuba kedengaran cool. Potensi empat lagu ini untuk dibesarkan sifatnya dari segi susunan muzik string khususnya di pentas final amat besar.
Melodi lagu “Di Matamu” hanya sekadar gabungan melodi Segalanya (Haqiem Rusli) dan Menahan Rindu (Wany Hasrita) yang disatukan selepas itu cuba terus dengar “Kata Akhirmu” selepas Di Matamu. Serupa.
Dan dengarkan juga intro dua lagu ciptaan Ippo Hafiz yang berjaya ke semi final kali ini, “Jagakan Dia” (Shiha) dan “Dia” (Qody) dan cari beza komposisi kedua-dua lagu ini. Terlalu sama dan tak ada keistimewaan sekadar ulang formula serupa.
Cerita yang sama dengan lagu “Stereotype” dan “Cakap Ke Tangan” tapi setidaknya formula Akim dan Laq dalam kedua-dua lagu ini ada energi dan punya daya tarikan untuk berada di pentas besar.
“Rintihan Rindu”, “Luluh” dan “Selamat Tinggal Sayang” tidak perlu berada di final. Tiga lagu ini terlalu lembik dan tak maju bagi saya, penghasilan melodi berulang serupa, lirik yang terlalu lemah. Dan tolonglah bukan juga lagu “Kisah Antara Kita” jauh-jauhkanlah lagu begini di pentas final.
Berikut 30 lagu yang bakal bertanding di tiga minggu berbeza yang akan bermula pada 9 November nanti. Bold pilihan Muzik Kita.

Siti Nordiana & Dayang Nurfaizah kedua-duanya mempertaruhkan lagu ciptaan Hael Husaini.
9 November 2018
Di Matamu – Sufian Suhaimi (Sirkhan / Rinkarnaen)
Dia – Qody (Ippo Hafiz)
Kata Akhirmu – Ariff Bahran (Rudy Kasmaran / Jimmy Asmara / Sang Hitam)
Bercanda di Malam Indah – Kugiran Masdo (Ali Sariah)
Sesungguhnya Aku – Alif Satar (Faizal Tahir / Romeo / Mike Chan / Ezra Kong)
Mimpi – Liza Hanim (Hafiz Hamidun / Fedtri Yahya)
Seindah Berdua – Dewi Seriestha (Dewi Seriestha)
Dia – Dayang Nurfaizah (Omar K / Ezra Kong / Hael Husaini)
Semakin – Siti Sarah (Mera Utama)
Tak Pernah Hilang – Amylea X Kaer (Farouk Roman / Amylea)
Hikayat Ben Ladin – Ben Ladin (Dedeq / Malique)
16 November 2018
Bunga – Altimet (Omar K / John Jeevasingam / Altimet)
Luluh – Khai Bahar (Khai Bahar)
Rahsia Kita – Khai Bahar & Fatin Husna (Harris Yusoff / Jim Bimasakti)
Stereotype – Akim & The Majistret (Laq / Hang Nadim)
Sulit – Aman Aziz (Asfan Shah / Fedtri Yahya)
Bunga – Ara Johari (Hang Nadim / Laq / Kadok)
Jagakan Dia – Shiha Zikir (Ippo Hafiz)
Haram – Hael Husaini & Dayang (Hael Husaini / Ezra Kong)
Demi Kita – Ismail Izzani (Omar K/Ezra Kong / Adib Hamdi / Ismail Izzani)
Cakap Ke Tangan – Stacy (Hang Nadim / Laq)
Kau Pun Sama – Syamel (Syamel / Kidd Santhe / Syamel)
23 November 2018
Selamat Tinggal Sayang – Haqiem Rusli (Haqiem Rusli / Ibnu)
Jatuh Bangun – Haqiem Rusli ft Aman Ra (Haqiem Rusli / Omar K / Ikhwan Fattana / Aman Ra
Hajat – Hael Husaini (Hael Husaini / Ezra Kong)
Layarlah Kembali – Dayang Nurfaizah (Aubrey Suwito / Ad Samad)
Nisan Cinta – Siti Nordiana & Jaclyn Victor (Hael Husaini / Mike Chan / Ezra Kong)
Rintihan Rindu – Wany Hasrita (Ibnu /Gouffran)
Kisah Antara Kita – One Avenue Band (Reyhan)
Sampai Bila – Misha Omar (Sharon Paul / Fedtri Yahya / Shah Shamshiri)