Menyorot gemilangnya Juara Lagu sebagai sebuah pesta muzik komersil yang dinantikan saban tahun sehingga usia tiga dekad hari ini, tidak siapa mampu menyangkal prestij dan pentingnya AJL sebagai penanda aras siapa yang terbaik dan terpopular sepanjang tahun.
Sebetulnya konsep yang digunakan program Muzik-Muzik ini dengan memberi peluang lagu yang popular untuk diiktiraf sebagai yang terbaik ada relevannya. Saya melihat konsep ini sebagai sesuatu yang equaldalam mencari yang seimbang – nilai komersil dan nilai seni muziknya.
Berbanding Anugerah Industri Muzik yang seratus peratus menggunakan logik dan genius juri berpengalaman, Juara Lagu bagi saya lebih adil untuk semua – yang popular dan yang terbaik. Tetapi di hujung ceritanya, hanya yang terbaik akan diangkat sebagai sebagai juara.
Dalam entri kali ini kami ingin menyenaraikan 10 lagu malar segar dan yang memiliki komposisi muzik terbaik yang terlepas peluang menjadi sebahagian finalis Juara Lagu.

AKU CINTA AKU RINDU / AJAI & NURUL
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Nurul
Aku Cinta Aku Rindu lengkap sebagai naskhah balada yang cukup baik. Penciptaan melodinya ketika dipasarkan cukup original sekali. Aku Cinta Aku Rindu tewas pada lagu Purnama Merindu (Siti), Syurga di Hati Kita (Ziana), Hanya Satu (Nora) dan Aku Tetap Aku (Shima). Fakta yang lebih menarik, lagu ini mengungguli lagu terbaik AIM meminggirkan jauh keempat-empat lagu yang ke Juara Lagu tahun tersebut.
SEDALAM MANA CINTAMU / SAFURA
Komposer: LY
Penulis lirik: Baiduri
Sesetangah lagu penciptaannya saja sudah memiliki faktor malar segar. Sedalam Mana Cintamu salah satu dalam jutaan lagu yang ada faktor itu. Dan sebetulnya bukan mudah untuk mana-mana pencipta dapat magis dalam mencari formula lagu evergreen. Biarpun menurut saya lagu ini bukanlah cukup asli penciptaannya tetapi Sedalam Mana Cintamu ketika diedarkan memberi sedikit suntikan berbeza dalam formula baladanya.
DI PENJARA JANJI / AWIE
Komposer: Yann
Penulis lirik: Kristo Bimbo
Di Penjara Janji cukup besar sifatnya dan jiwanya. Ia datang dengan komposisi yang mendahulukan emosi dan disokong dengan penciptaan melodi serta penulisan lirik yang menyatu sangat baik untuk menjadi naskhah malar segar. Saya kira sehingga hari ini hanya beberapa lagu sahaja yang punya sifat begini. Antara lainnya, Nur Nilam Sari yang ditulis M.Nasir dan Sinar tulisan Mus May yang turut pentas akhir Juara Lagu.
KESETIAAN / SARAH
Komposer: Ajai
Penulis lirik: Musrad
Sebuah lagi lagu hebat ciptaan Ajai yang terlepas ke pentas akhir Juara Lagu. Kesetiaan cukup sifat sebagai balada merdu yang begitu hebat sekali penghasilannya. Feel Sarah dalam lagu ini memberi justifikasi yang baik dalam penciptaan lagu ini. Sehingga hari ini saya masih pelik mengapa lagu ini terlepas peluang tetapi untuk menidakkan kehebatan pesaingnya seperti Bunga-Bunga Cinta, Sinar, Selagi Ada Cinta dan Keabadian Cinta jauh sekali. Apa yang pasti jika tahun ini dimansuhkan konsep Kategori saya pasti Kesetiaan dengan mudah dapat ke final AJL.
PERGILAH SAYANG / KORIE & ELLA
Komposer & Lirik: Korie
Masterpiece ciptaan Korie yang menjadi antara lagu duet paling popular sepanjang zaman. Feel lagu ini cukup romantis, korusnya catchy, melodi keseluruhannya cukup senang menangkap pendengaran pada saat pertama mendengar. Pendek kata lagu ini punya formula komersil yang cukup tinggi.
PUTUS TERPAKSA / ZIANA ZAIN
Komposer: Saari Amri
Tahun yang sama Ziana ke semi final dengan lagu Anggapanmu tetapi tewas ke final untuk kedua-dua lagu. Putus Terpaksa naskhah besar sifatnya untuk mengendong idea Balada lokal yang akan sentiasa ada pengikutnya dan segala jenis magis begini hanya Saari Amri sahaja yang mampu melakukannya.
JESNITA / EXISTS
Komposer: Harun Ahmad
Penulis lirik: G-Nola
Exists antara kugiran Pop terbaik sepanjang zaman yang kita ada. Dari zaman Mamat sehingga Ezad mereka tidak pernah lolos untuk tidak ke final AJL. Jesnita dicalonkan ke final bersama Julia tapi sejujurnya saya kira originality yang ada pada Jesnita lebih tebal berbanding Julia yang terlalu kuat pengaruh brit pop. Dan ya lagu ini masih segar dan sedap didengar sehingga hari ini.
TITIAN PERJALANAN
Komposer: Izo
Penulis lirik: JS Kevin
Saya memilih Titian Perjalanan kerana keupayaan lagu ini untuk disatukan dengan susunan string dalam persembahan live. Melodi lagu ini saja sudah cukup kuat sebagai wakil sentimental rock tapi tewas dengan balada Di Persimpangan Dilema, Lamunan Terhenti, Di Pintu Mahligai dan juara lagu tahun tersebut Cinta Beralih Arah.
CINTA TAK KENAL SIAPA / ARIS ARIWATAN
Komposer & Lirik: Saari Amri
Kraf lagu ini bergerak antara balada dan irama Melayu yang cukup menyentuh. Melodi dan lirik lagu ini menyatu baik dan berdiri sendiri. Tidak banyak naskhah balada begini yang punya jiwa Melayu yang pure begini. Penghayatan Aris dalam lagu ini melengkapkan segala bentuk kesempurnaan yang ada.
MERENUNG BULAN / AISHAH
Komposer: Jari
Penulis lirik: Habsah Hassan
Lirik lagu ini sahaja saya kira sudah meninggalkan jauh pesaingnya yang lain. Bait puitis Habsah Hassan tidak pernah mengecewakan namun kolaborasi kedua Jari dan Habsah Hassan untuk Aishah setelah kejayaan Cinta Beralih Arah tidak dapat diteruskan. Mungkin juga atas faktor susunan muzik buat Kool yang diubah sedikit menjadi faktor lagu ini terpinggir.