
Rating di Twitter dengan meletakkan verdik 2 bintang untuk SimetriSiti mengundang cuak penggemar tegar Dato’ Siti Nurhaliza. Ada mengatakan saya haters dan berat sebelah dan ada yang menyatakan verdik saya tidak berasas.
Jadi dengan itu saya ingin membuat pencerahan, sedikit penjelasan dan menjadi lebih kritis dan kritikal terhadap figura seni yang sudah memiliki lebih 15 album studio sepanjang tempoh 22 tahun dia mencipta nama sebagai anak seni dalam legasi muzik tempatan yang paling tinggi darjatnya – menyamai Tan Sri S.M Salim, Sudirman, Sharifah Aini dan Sheila Majid.
Baiklah, sebagai pendengar saya sentiasa mahu dicabar dengan satu pengalaman mendengar muzik (album) lengkap yang memiliki satu konsep dengan kesinambungan muzik yang baik.
Bagi saya muzik (album) adalah satu journey perasaan yang punya cerita lengkap dan cerita lengkap itu tidak semestinya pada penulisan lirik tetapi continuity penciptaan melodi yang melengkapi antara satu lagu dengan lagu lain.
Hal-hal ini ada dalam album Pancawarna, Prasasti Seni, Transkripsi, Hadiah Daripada Hati dan Fragmen. Album-album ini contoh terbaik naskhah album yang lengkap pernah dihasilkan Siti bersama battalion muzik yang dilantik.
Saya harus menjadi lebih kritis sebagai pendengar, demand dan expectation saya tinggi terhadap Siti kerana ketika Fragmen dilahirkan saya seronok dengan produksi album tersebut dan setelah lebih 2 tahun tanpa album, saya mahukan sesuatu yang menyamai standard album tersebut atau lebih lagi.
SimetriSiti dimulakan dengan pertaruhan Segala Perasaan yang sangat istimewa penciptaannya. Jujur saya goosebumps ketika pertama kali mendengarkan lagu ini. Vokal Siti berada di tahap paling baik dengan feel yang begitu hebat sekali. Bait-bait lirik lagu ini sangat indah dan ia melengkapi segala aspek melodi, susunan muzik, kualiti rakaman dan ya saya ulang sekali lagi vokal hebat Siti yang maha dahsyat.

Jadi dengan itu saya sudah menjangkakan sesuatu yang cukup hebat akan ada pada SimetriSiti. Namun saya kecewa kerana album ini gagal dalam melengkapkan formula muzik yang saya sebut sebagai journey (pelayaran) perasaan itu tadi.
Mengapa?
Album ini dibuka indah cukup indah susunan string dalam lagu Bersandar Cinta. Namun maafkan saya Aubrey melodi lagu ini terlalu predictable dan entah mengapa mengingatkan saya pada Layarlah Kembali (Dayang Nurfaizah)
Aubrey Suwito komposer yang saya sukar menebak karya daripadanya. Contoh termudah Lebih Indah dan Jaga Dia Untukku – kedua-dua lagu ini tidak ada esen Bisakah atau Beradu Di Khayalan juga Menatap Dalam Mimpi.
Namun entah di mana kurangnya Bersandar Cinta hanya bagus pada kemasan muziknya sahaja (string dalam lagu ini begitu hebat) namun sejujurnya melodi lagu ini sekadar biasa-biasa.
Sebuah lagi lagu ciptaan Aubrey berjudul Manis Terindah juga begitu, Melodi lagu ini terlalu mudah dan tidak dinamik. Momentum album ini bagai dimatikan begitu sahaja dengan trak ini. Saya tidak punya masalah dengan lagu yang datang dalam melodi yang simple tetapi simple tidak perlu menjadi bosan dan outdated.
Lagu seperti Sayang (Faizal Tahir) atau Sabar (Ismail Izzani) contoh terbaik lagu simple yang diadun dengan nuansa semasa yang membuatkan 2 lagu tersebut segar, relevan dan tidak kedengaran old-fashioned. Namun Manis Terindah tidak ubah seperti beberapa lagu Siti yang saya sebut sebagai naskhah yang mudah dilupakan atau orang sebut sebagai filler. Lagu seperti Hanya Dirimu (Ajai) dan Pejam Matamu (G-Nola) daripada Prasasti Seni contohnya.
Aku Bukan Malaikat sebuah lagi lagu dengan formula yang diulang guna dalam lagu Ketika Cinta atau Batasku Asaku menerusi album Tahajjud Cinta. Saya sukakan alunan ketuhanan Siti dalam Mula dan Akhir (Awi Rafael) menerusi Fragmen. Lagu tersebut membawa standard muzik pop Siti lebih bercitarasa dan kedengaran asli. (Asli di sini maksud saya – dengarlah mana-mana lagu ciptaan Opick semuanya serupa).

Dalam hal ini saya tidak ada masalah dengan lagu Aku Bukan Malaikat tetapi selepas fasa Mula dan Akhir yang bagi saya sejujurnya antara lagu terbaik pernah Siti rakam, saya berharap Siti kekal pada tempo serupa tanpa kembali pada formula Tahajjud Cinta.
Kisah Ku Inginkan (Duet Judika) kembali pada aliran muzik semasa Siti. Bukan sesuatu yang baru tapi setidaknya tidak kedengaran outdated. Lagu ini kesinambungan yang baik Muara Hati, Seluruh Cinta dan Dirgahayu. Korus lagu ini sangat baik dalam memberi justifikasi yang hebat pada kedua-dua vokalis ini.
Saya hentikan review SimetriSiti di sini kerana lagu-lagu lain yang ada menerusi album ini di bawah expectation yang saya harapkan. Lagu-lagu melodi sedih dengan lirik gembira, melodi la la la..,pop rancak yang sekadar mengisi ruang kosong dan balada ala Hapuslah Air Matamu (rujuk lagu Ikrar Cinta) yang saya yakin hanya akan menjadi sebahagian daripada ratusan lagu yang bakal dilupakan.
2/10
ARTIKEL BERKAITAN