
Pasaran sukar muzik urban ketika era 90-an sehingga hari ini sedikit sebanyak membuktikan sempitnya penerimaan pendengar massa yang tidak begitu memandang muzik ini sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan.
Berbanding di era 80-an saya kira muzik kita lebih beragam dan menerima terbuka pasaran muzik yang keluar kepompong pasaran Balada bunuh diri. Nama seperti Sheila Majid, Freedom, Fairuz Hussein dan Mazlan Hamzah diterima baik bukan sahaja pasaran tempatan malah nusantara.
Pasaran Pop R&B semakin kecil ketika pertengahan 90-an yang dimonopoli kugiran Pop seperti Spring, Slam dan Ukays serta bakat solo seperti Ramlah, Ziana, Haida, Safura dan lain-lain. Tetapi apa yang baiknya radio masih memutar lagu-lagu Sheila Majid, Zainal Abidin contohnya. Berbanding hari ini yang 90 peratus daripada apa yang kita dengar adalah benda serupa.
Afdlin Shauki memulakan karier nyanyiannya bersama Roslan Aziz Production (R.A.P) dengan single Sampai Bila yang dimuatkan dalam album R.A.P 96 yang memberi warna Pop berbeza ketika di pasarkan.
Selepas fasa R.A.P Afdlin mengambil masa cukup panjang untuk mengedarkan debut berjudul Fuuyo! Yang hanya diedarkan pada tahun 2013. Megambil masa 12 tahun untuk menyempurnakan Fuuyo! Album self-fund ini bagaimanapun dipandang sepi tanpa sebarang pendedahan radio khususnya.
Afdlin keluar daripada kepompong Balada bunuh diri dengan menghasilkan sesuatu yang lebih moden. Nuansa Funk, R&B, Jazz yang diadun dalam Pop cara Afdlin saya kira menjadikan muzik kita pada ketika itu ke depan dan lebih bercitarasa antarabangsa (Selain Innuendo, Ferhad dan Reshmonu).
Album ini datang dengan 17 trak yang masih segar biar sudah 15 tahun beredar di pasaran. Funk dalam Aku Lelaki dan Sampai Bila killer album ini. Saya tidak tahu ada atau tidak penyanyi lelaki yang memiliki sisi funk seperti apa yang Afdlin persembahkan dalam album ini.

Aku Lelaki all time fav saya, I can listen to this song at any time. Masterpiece karya Afdlin yang saya letakkan antara terbaik sejarah dalam penghasilkan muzik funk R&B tempatan. Groove dalam trak ini diteruskan dalam lagu seperti Ku Tak Mahudan Tuan & Hamba.
Fuuyo! Tidak hanya fokus pada lagu-lagu berentak rancak sahaja percubaan balada Afdlin tidak juga mengecewakan. Tapi ballad Afdlin bukanlah jenis balada bunuh diri. Afdlin lebih senang bercerita tentang keindahan dalam cinta, persahabatan, tentang istimewanya wanita dan humanism dalam lagu seperti Waras antara kritikan sosial terbaik dalam penghasilan muzik Pop tempatan.
Waras saya letakkan sebagai lagu terbaik dalam album ini. Bait lirik di bawah cukup memperlihatkan betapa Afdlin peka dalam penghasilan muzik yang tidak hanya terikat pada idea putus cinta sahaja.
“Di Malam Ini Aku Mahu Bersendiri
Bertemankan Sunyi
Untuk Ku Tenangkan Hati
Selama Ini Kerap Saja Diganti
Disaat Ini Kulupakan Segala
Masalah Dunia Yang Sering Melanda
Sementara Walaupun Untuk Sementara.”
Keindahan balada Afdlin diteruskan dalam tiga lagi lagu lain seperti Bukan Cinta (Dirakam semula versi duet Amylea & Azan), Hingga ke Akhirnya (Dirakam semula oleh Dayang Nurfaizah) dan Mia Sara. Tiga balada indah, lembut dan tidak meleweh yang pastinya.

12 TAHUN PEMBIKINAN, BERMODALKAN RM130K & DIPANDANG SEPI?
Afdlin dengan batalion produksi Fuuyo! Seperti Mac Chew, Jenny Chin, Acis, Pacai, Aji dan Fenditelah memberikan satu citarasa muzik yang bersifat global. Cuma masalanya, radio tidak ambil pusing akan album ini, syarikat pengedaran ketika itu malah menganggap album ini tiada demandyang memaksa Afdlin menjual sendiri albumnya di blog peribadinya.
Tapi saya selalu percaya demand hanya akan datang pabila adanya pendedahan yang betul. Benda yang baru, yang belum biasa tentu akan ambil masa. Tapi itu bukan alasan untuk kita meminggirkan terus produk yang baru, yang masih kuraR&Bng permintaan. Apresiasi muzik harus sama rata tanpa adanya double standard.
Menurut Afdlin, Fuuyo! Dicetak sebanyak 7500-unit (CD & Kaset) yang sepatutnya diedarkan secara menyeluruh oleh EMI ketika itu. Tetapi entah di mana silapnya, keberadaan album ini hampir tiada di kedai-kedai CD semenanjung Malaysia.
Hal ini membuatkan Afdlin melakukan kerja gila dengan menjual album Fuuyo! Sendiri dengan projek yang dinamakan Afdlin Dah Hilang Akal. Apa yang dia lakukan adalah menyerahkan kepada pendengar untuk meletakkan harga album tersebut jika mereka berminat membeli dengan harga serendah 10 sen. Ya sepuluh sen.
Hal ini saya kira sudah cukup jelas memperlihatkan kekecewaannya terhadap diskriminasi muzik ketika itu terhadap penyanyi yang bergerak sendiri sepertinya ketika itu.

Batalion Muzik Fuyoo! Fendi, Aji, Acis, Pacai dan Afdlin
Membaca komen mereka yang berminat mendapatkan album tersebut, banyak yang menyatakan Fuuyo! Sukar didapati di kedai dan saya kira ini adalah masalah pengedaran. EMI tak buat kerja? Atau bukan priority kerana hanya dilantik sebagai pengedar?
Mendengar kembali Fuuyo! Bagi saya ia bukanlah naskhah yang berat atau sukar dihadam. Afdlin sudah merencana album ini dengan corak paling Pop yang catchy, easy-listening tapi tastefully produced. Sama seperti apa yang Amy Mastura lakukan dalam Pop-nya. Semuanya ringan tetapi kemas dan berkelas (Ini yang artis hari ini tiada).

Jadi saya tidak pasti mengapa radio menolak Fuuyo! Dan disebabkan sikap atau taste orang radio yang hanya mahu main suicidal teenage ballad sehingga hari ini kita masih dengar lagu dengan formula serupa. Yang berganti hanyalah generasinya.
Terima kasih daripada Muzik Kita buat Afdlin dan batalion muzik Fuuyo! kerana menghasilkan sesuatu yang akan terus kami dengar bangga dan tidak malu untuk diperkenalkan pada kenalan seberang setidaknya.
ARTIKEL BERKAITAN
#RetrospektifMuzik 17 Tahun “Kirana” Sebagai Naskhah Pop Yang Maha Hebat