
Sejak dierdarkan di semua gedung muzik digital 24 Ogos lalu, Faizal Tahir tampil dengan muzik video “Ragaman” yang menampilkan aktres Nabila Huda sebagai pemeran utama muzi video yang sudah mencecah view 1 Juta dalam masa kurang seminggu dan kini trending #1 di YouTube Malaysia.
“Ragaman” membawa sisi berbeza Faizal Tahir setelah lebih 10 tahun bergelar penyanyi dan produser muzik. Lagu dalam feel inspirasi P.Ramlee dan pasca Masdo ini kiranya diedarkan tepat pada masanya di saat muzik begini semakin mendapat tempat di hati penggemar muzik semasa.
Video muzik rasmi arahan Azhar Ismail ini memilih Nabila Huda atas permintaan Faizal sendiri yang menyifatkan Nabila memiliki karakter paling sesuai untuk menzahirkan watak sebagai isteri. Ternyata pertaruhan Faizal ini berjaya apabila ramai peminat turut menyifatkan pemilihan Nabila dalam video muzik ini sebagai sangat tepat kerana mempunyai raut wajah klasik dan daya penariknya yang tersendiri.
“Saya tidak dapat membayangkan orang lain untuk memegang watak ini. Nabila merupakan pilihan terbaik”.
Mengulas tentang pengalaman digandingkan dengan pelakon berbakat yang juga anak kepada ikon rock Amy Search ini, Faizal berkata, “Pada mulanya saya rasa gementar kerana Nabila seorang pelakon yang hebat. Tetapi lama kelamaan keserasian kami makin terserlah.”
Tambah FT lagi – “Hasil kerja Nabila memang sangat mengagumkan! Saya amat berterima kasih kepada Nabila kerana sudi menerima tawaran untuk berlakon dalam video muzik ini. Walaupun pernah mendapat banyak tawaran sebelum ini, Nabila belum pernah lagi terlibat dalam mana-mana video muzik. Saya terharu kerana Nabila memilih ‘Ragaman’ untuk menjadi video muzik pertama lakonannya”.
“Ragaman” sejak diedarkan sudah didengar hampir 300 ribu kali di Spotify sahaja tidak termasuk gedung muzik digital yang lain. Ragaman merupakan lagu hasil ciptaan Faizal Tahir bersama Mike Chan, Karim Karam, Romeo dan Jaare.