
Dalam entri kali ini saya ingin bercakap tentang tiga bakat muda yang punya potensi besar untuk membentuk pasaran muzik lokal ke tahap yang lebih berkelas dan global. Biar bukan terlalu baru dalam pasaran muzik tetapi dengan segala potensi yang ada boleh dikembangkan bagi membantu meluaskan lagi spektrum muzik tempatan supaya tidak lagi stuck dengan idea serupa.
Kenapa hal ini penting?
Sebab kita ketinggalan sangat jauh dengan Indonesia. Melihat betapa besarnya penerimaan terhadap bakat urban seperti Dipha Barus (Best Dance Production), Adrian Khalif (Best Rap Hip-Hop), Teddy Ahitya (Best New Comer), Soundwave, Eva Celia dan lain-lainnya yang diterima baik bukan sahaja di pentas anugerah tetapi secara menyeluruh – radio, strim digital, konsert dan sosial media.
Malaysia bukan tiada bakat yang sebagus nama-nama yang saya sebut di atas cuma pendedahan serupa sahaja yang tidak diberi. Media Melayu khususnya bagai tidak berminat untuk menulis tentang bakat-bakat yang keluar daripada kepompong pasaran tipikal balada Melayu.
Jadi di ruang kecil yang ada kami di Muzik Kita berharap dapat memberi anda sedikit sebanyak input yang boleh kami kongsikan tentang bakat-bakat yang terpinggir ini. Semoga bermanfaat untuk semua.

ALI AIMAN mula merilis single pertamanya di iTunes dan Spotify berjudul Jangan Kau Pulang pada tahun 2013 feel Pop pengaruh Dewa 19. Selepas itu, Ali mengubah corak muziknya daripada Pop kepada elektronik dan downtempo ala James Blake.
Maka lahirlah debut yang cukup solid sempurna berjudul Overture yang diedarkan sekitar 2014. Ketika EP ini menjengah pasaran digital Ali mengubah landskap muzik indie tempatan dengan sentuhan produksi muzik kelas satu.
Dengarkan saja bagaimana lagu-lagu seperti Breathe, Every Little Things, Armour & Glass, Always dan all time favorite saya Pavane For a Dead Princess yang dipakejkan menjadi satu pengalaman menikmati muzik TEMPATAN yang cukup membanggakan.
2016 Ali Aiman kembali dengan EP kedua yang lebih matang dan bersifat komersil. Lagu seperti Cover You (Duet Talitha Tan) dan Morning Sun bergerak dalam prisma muzik yang saya kira cukup global dan besar sifatnya untuk dipasarkan secara besar-besaran.

KUIZZ SHAH mula mendapat perhatian di SoundCloud dengan single Uncool yang berlegar di strim digital sekitar 2016. Selepas itu langkah Kuizz melangkah sehingga hari ini dia menjadi Top 2 Asia’s Dream Come True yang dianjurkan Spotify bersama Air Asia mengetepikan bakat lain dari Jakarta dan Singapura.
Apa yang lebih menarik adalah peluang untuk Kuizz bersama produser terkemuka David Foster dalam sesi mentoring session Asia’s Dream Come True. Single perdana Kuizz selepas Uncool berlegar tahun lalu dengan judul Silence.
Bakat Kuizz dalam muzik cukup menyeluruh daripada mencipta lagu, menyanyi sehingga produksi muzik lengkap. Seperti Ali Aiman, Kuizz bakat yang tahu akan krafnya sebagai pemuzik tanpa berkompromi dengan kualiti yang biasa-biasa. Semuanya cukup solid!
Dipha Barus sudah menjejak pasaran massa dengan kolaborasi bintang besar seperti Bunga Cinta Lestari dan Titi DJ – saya kira tidak mustahil juga untuk Kuizz mendapat perhatian bakat tempatan seperti Yuna dan Dayang Nurfaizah.
Antara produksi besar yang mendapat sentuhan Kuizz setakat ini adalah single Aina Abdul – Reminiscing dan album solo kedua Bil Musa berjudul Young Adult. Mendengar lagu-lagunya, saya kira Kuizz faham pasaran semasa global dan bijak dalam melokalkan bunyian yang diciptanya.
ALIF bukan nama baru bidang muzik tempatan tetapi Alif sejujurnya semakin matang sebagai produser muda yang punya kelebihan dalam merencana corak muziknya. Saya sebetulnya mula tertarik dengan Alif ketika dia merangka Bukan Hal Aku (Kaka) yang ketika dipasarkan bagi saya cukup segar sekali.
Kemudian Alif datang bersama single solonya Mama namun tidak begitu mendapat perhatian. Perjalanan muziknya belum terhenti. Selepas Bukan Hal Aku, Alif bersama Kaka menghasilkan Terima Kasih dan yang terbaru Kembali.

Alif baru-baru ini tampil dengan single terbarunya Buat Selamanya dan turut menjadi individu penting dalam single terbaru Joe Flizzow – Drop yang juga baru diedarkan sebulan lalu.
Satu perkara yang saya suka tentang Alif adalah cara dia menulis bait lirik yang menyatu baik dengan melodi yang disusun. Biar hanya menggunakan Bahasa bual seharian, lagu-lagunya tidak kedengaran pretentious atau mencuba.
Terus terang saya benar-benar mahu melihat tiga bakat ini bersinar tahun ini. Saya kira Alif sudah berada di landasan yang betul cuma dia perlu lebih diterima luas.
Saya juga berharap agak Kuizz Shah dan Ali Aiman dapat melakukakn kolaborasi besar bersama bintang ternama supaya setidaknya satu kaki sudah melangkah ke persada mainstream. Yang tinggal hanyalah usaha tanpa putus asa dan tidak sesekali berhenti.
Rujuk sahaja bagaimana Too Phat mendapat perhatian besar saat mereka melokal-kan hip-hop dengan anthem Anak Anak sehinggalah mendapat perhatian Biduanita Sharifah Aini dan Siti Nurhaliza untuk merakam lagu duet bersama.
Gerakan sebegini harus diperluaskan untuk mengembangkan pasaran muzik hari ini yang semakin ke belakang. Jika tiada yang mahu memulakan saya kira selamanya kita akan terkandas dan terus tertinggal jauh dengan apa yang Jakarta ada hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Zamaera Menebar Nota-Nota Masa Depan Nan Cerah Dalam Persembahan Muzik Kelas Satu “Z”