
Lagu: Kaki Kiriku
Persembahan: Noryn Aziz
Komposer Lirik: Reza Salleh / Hin Ee Jeng
Produser: Hin Ee Jeng
Dalam mengembalikan irama lama cabarannya pasti ada namun itu risiko yang harus diambil mana-mana penyanyi dan pemuzik untuk tertumbuh dan tidak terjerat dengan idea serupa. Noryn Aziz melalui kembara bermuziknya dengan satu kelainan mendepani apa yang ada di pasaran semasa tanpa betah.
Lantas menzahirkan dua album solo “Alam Maya” dan “I’m Alright” dengan caranya sendiri. Suka atau tidak itu hal subjektif kerana apa yang penting adalah keberaniannya dalam memberi sesuatu yang berbeza. Dan hal berbeza ini menjadikan Noryn bergerak matang tanpa perlu fomo mengikut trend semasa.
“Kaki Kiriku” menjadi pertaruhan terbarunya yang sekali lagi memberi infusi Jazz tetapi berbeza dengan apa yang pernah dia persembahkan sebelum ini. Lebih awal dirakam The Frankie Sixes, lagu ini mengulik ilham lama pada pasaran Jazz Saloma dan P. Ramlee dengan sentuhan lebih moden dan chic.
Diberi sentuhan berbeza daripada versi The Frankie Sixes, ia ini disusun kembali mengikut vibes dan attitude bermuzik yang lebih mengena Noryn Aziz. Cukup chic dan menyerlahkan sifat muzik Noryn itu sendiri. Dia memahami kehendak lagu ini dan memberikan satu nafas berbeza dengan apa yang dirakam awal kugiran Jazz dan Swing ini.
Noryn Aziz mungkin dalam legasi Pop memiliki pengikut yang niche berbanding penyanyi seusia kembara bermuziknya. Namun apa yang dia berikan pada sebetulnya adalah satu keseimbang yang baik untuk ekosistem pasaran muzik tempatan yang datang dengan warna berbeza.
“Kaki Kiriku” memiliki potensi besar untuk digilai jika mengena percaturan dan rezekinya. Namun jika ia masih gagal mencuri perhatian pendengar itu juga bukan masalah dan salah Noryn. Setidaknya apa yang dia berikan pada lagu ini adalah satu visi dan eveolusi. Maka dengan itu, setiap evolusi itu pasti akan datang dengan risiko yang tersendiri. But this is bop!
8.5 / 10
ARTIKEL BERKAITAN