
Lagu: Rahsia Tuhan
Artis: Noh Salleh
Komposer / Lirik: Noh Salleh
Produser: Noh Salleh
Tanpa perlu terlalu banyak lagu, Noh Salleh merangka kembara bermuziknya dengan cukup konsisten – untuk terus diingati, didengarkan lagu-lagunya. Dan dengan cara itu juga saya rasa penggemar setianya mampu untuk datang dan pergi mendengarkan berulang kali naskhah yang telah dihasilkan.
Maka tidak salah untuk melabelkan lagu-lagunya sudah bersifat malar segar. “Angin Kencang”, “Bunga di Telinga” dan “Sang Penikam” akan terus diraikan sebagai salah satu lagu yang tinggi nilai evergreen untuk seorang Noh Salleh.
Setelah terakhir kali menghasilkan projek solo menerusi EP “Bisikan” kira-kira empat tahun sudah, Noh melalui fasa hidup yang berguling atas dan bawah ceritanya. Dan hal ini saya kira sudah pasti memberi ilham untuk seorang anak seni sepertinya menghasilkan muzik yang lebih dekat dan personal.
Noh Salleh cukup beremosi kali ini dalam penghasilan single terbarunya yang dihasilkan sepenuhnya oleh soloist ini. Dalam penulisan lirik yang cukup berbalut cerita cukup personal saya kira, Noh Salleh kali ini benar-benar mahu pendengar memahami his current state of mind.
“Rahsia Tuhan” diberi judul sebagai satu penyerahan takdir mungkin atas apa yang terjadi dalam fasa hidupnya kebelakangan ini. Bait “Hanya nafas didengari aku // Puas resah melengkapi lagu.” membuka lagu ini dengan satu bayangan lengkap naratif yang ingin disusun.
Saya leka di bahagian korusnya. Melodinya cukup mellow dengan kesederhanaan dalam penyampaian Noh sebagai pelantun namun bertepatan dengan kehendak lagu, saya sebagai pendengar turut sama larut dalam perasaan yang Noh salurkan.
Saya tidak pasti bila terakhir kali saya berasa emosi yang seberat ini dalam lagu-lagu Noh tetapi mungkin juga ini satu-satunya lagu Noh yang paling dalam perasaannya. Dan saat bait “Apa yang tertulis buatku // Kian berat bila tiba siang.” saya pasti ini adalah titik matang seorang Noh Salleh dalam memahami takdirnya.
7.8/10
ARTIKEL BERKAITAN