
Transisi karier muzik Najwa Mahiaddin (Kini NJWA) saya kira seiiring dengan pengaruh muzik semasa yang semakin dekat dengan ilham lo-fi R&B seperti Daniel Caesar, Sabrina Claudio dan Jorja Smith serta H.E.R yang cukup dominan dengan muzik lo-fi R&B begini.
Ketika EP Aurora diedarkan pada tahun 2014, NJWA tidak lagi mahu memandang ke belakang dengan melakukan apa yang dilakukan dalam abum penuh Innocent Soul yang kental mood Motown R&B yang cukup hebat sekali penghasilannya.
Namun sekuat mana pun saya menggemari NJWA yang di fasa tersebut, sebagai pendengar saya terbuka untuk melihat bagaimana penyanyi dan pemuzik ini berkembang dengan kraf yang mahu dilaksanakan buat penggemar dan juga peminat muzik secara umum.
Dan selepas duet yang cukup indah Sentiasa Merinding menjengah pasaran muzik tempatan tahun lalu, kali ini NJWA muncul dengan EP 3 lagu yang beredar 27 April lalu.
EP self-titled ini dibuka dengan lagu berjudul In The Name of Love yang saya sifatkan begitu organik sekali penghasilannya. Ada feel ‘rainforest’ dengan efek bunyi dan susunan muzik minimal tapi cukup deep. Ibarat sebuah mantra muzik yang cukup mengkhayalkan.
Dan NJWA terus membuat pendengar leka dan khayal dengan lagu seterusnya Togok – eksperimentasi muzik dengan mengambil sampel lagu gamelan yang disatukan dengan melodi asli lagu ini. Naskhah begini saya kira cukup berat untuk pasaran lokal khususnya tetapi ia buat kita cukup ke depan dengan satu pengalaman menikmati muzik yang tidak banyak sedikit berbeza.
Saya paling sukakan lagu terakhir EP ini berjudul Ocean. Inilah NJWA yang saya nantikan dan sukakan. Penjiwaan dan emosi dalam lagu ini cukup terdalam dan indah sekali penghasilannya. Dan ya, saya cukup puas mendengar vokal NJWA dalam lagu ini.
Mendengar Ocean buat saya tidak sabar menunggu sebuah lagi soulful ballad begini berjudul Take Love Back yang sering NJWA persembahkan di persembahan live-nya.