
Lagu: Alunan Lara
Artis: NJWA
Komposer / Lirik: NJWA
Terlalu lama dan terlalu rindu sebetulnya untuk melihat NJWA menzahirkan sebuah naskhah muzik terbaru. Entah kali terakhir mungkin lagu-lagunya bersama Monoloque barangkali yang mungkin agak niche pasaran muziknya. Berat yang sehingga meminggirkan nilai komersil itu kadang-kadang tidak sihat juga untuk perkembangan karier.
Jadi kebetulan beberapa hari sebelum single “Alunan Lara” pertaruhan terbaru yang ditulis mengisi runut bunyi filem “Rahsia” diedarkan, saya kembali ke album “Innocent Soul” menikmati puas alunan vokalnya di lagu seperti “Go Head”, “Jealousy” dan “How Long Must I Wait”.
Dan kebetulan juga setelah beberapa lama hilang dari radar media sosial, NJWA berkongsi perkhabaran baru dalam satu reel posting yang memberi bayangan single baru akan menyusul dengan hashtag #rahsia2023 – ya, ia membuat saya teruja.
Untuk menikmati betapa sedapnya suara NJWA itu saya tidak berkira masa untuk menunggu, artis sepertinya is a gem, tak selalu ada dan pabila menjelma pasti kerana ada sesuatu yang mahu dikongsikan. Dan jika mendiam saya tahu saya sentiasa akan kembali ke lagu-lagu terdahulu. Mengulang dengar dan melupakan sekejap how shitty songs on chart today.
Maka setelah sekian lama, dua minggu lalu dia menzahirkan “Alunan Lara” yang bergerak kelam, dalam dan merasuk. Lagu sepenuhnya ciptaan NJWA ini dibuka dengan petikan piano yang cukup haunting sebelum vokalnya menyatu dengan muzik yang disusun.
Saya tidak pasti berapa banyak lagu berbahasa Malaysia yang ditulis NJWA selain “Impian Terindah” tetapi berdasarkan dua lagu ini, NJWA bukan hanya handal menulis dalam bahasa Inggeris tetapi dia juga penulis dan pencerita yang baik dalam bahasa Malaysia.
Pemilihan kata-kata yang mengisi bait lirik “Alunan Lara” terhasil sempurna tanpa terasa canggung dengan hal-hal yang tidak perlu. Disusun kemas sebagai sebuah teks cerita tanpa big phrase yang terlalu mencuba. Saya menyenangi penulisannya terutama di bahagian “Mungkinkah terurai // Inti dan kata // Terpendam cerita // Sebuah rasa.”
Lagu ini saya kira selain bergerak mengikut jalan cerita serta mood filem “Rahsia” yang bakal ditayangkan, ia juga menjadi penawar kerinduan penggemar NJWA yang sentiasa menanti sabar akan karya-karya terbarunya. Semoga jika NJWA membaca artikel ini saya masih mengharapkan lebih lagu daripadanya tahun ini.
8.9/10
ARTIKEL BERKAITAN