
Lagu: Bukan Lagi Kita (Special Edition)
Persembahan: Nadeera
Komposer / Lirik: Hael Husaini / Iqie Hugh
Arranger / Produser: Ee Jeng Hin / Genervie Kam
Tuah mungkin tidak selalu berpihak padanya tetapi itu bukan alasan untuk dia berputus asa. Kerana kekuatan, disiplin dan keinginan yang tinggi menggapai cita-cita dalam bidang muzik membawa Nadeera menemukan titik tengah yang membawa satu kejayaan luar biasanya. “Bukan Lagi Kita” satu permulaan untuk lebih lagi kejayaan yang bakal dia kecapi.
Seperti masih belum jemu rasanya melayani “Bukan Lagi Kita” di versi studio sambil melihat perjalanan Nadeera yang dikemudi sebaiknya kejayaan lagu ini. Perjalanan panjang Nadeera dalam keinginan mengecap kejayaan itu satu iltizam juga inspirasi besar untuk yang masih belum lagi menemukan momen mereka.
Terus melestarikan hayat pada lagu yang menjadi rezeki besar buatnya, Nadeera bersama gerakan pasukan pemasarannya memberi justifikasi baru “Bukan Lagi Kita” dalam satu rakaman yang lebih membuatkan saya rasa puas mendengarkan lagu ini.
Karya cipta Hael Husaini dan Iqie Hugh ini diberi standard baru dalam kemasan muzik Genervie Kam yang disusun untuk Anugerah Juara Lagu yang lalu. Gen bijak dalam menata sebuah lagu yang bagi menambah nilai sentimental yang tinggi. Hal ini sudah dia buktikan ketika meramu kembali “Di Pintu Syurga” dan “Lelaki Teragung” persembahan Dayang Nurfaizah beberapa tahun lalu dengan lebih kesayuan.
Dan magis Genervie Kam sekali lagi dibuktikan lewat “Bukan Lagi Kita” edisi istimewa ini. Dibuka dengan kemasan string yang membuka cerita di lagu ini dengan lebih kelembutan sebelum momentumnya semakin dirasai seiring lagu ini berjalan sehingga ke hujung. Saya suka dengan cara Gen mengambil masa untuk lagu ini tidak terdengar terburu-buru. (Seperti apa yang saya ulas di versi asalnya)
Saya senang dengan kematangan dalam persembahan vokal Nadeera di versi ini. Dia benar-benar bercerita dan mendasari sedalamnya kisah yang ditulis. Penyampaiannya kurang nyaring dan semakin kemas juga solid tanpa perlu terlalu beragam dalam styling nyanyian.
Sementara menantikan apa lagi yang bakal dipersembahkan setelah ini, Nadeera benar-benar membuat saya puas dengan persembahan “Bukan Lagi Kita” versi istimewa ini.
9.5/10
ARTIKEL BERKAITAN