
Sinonim dengan rangkaian lagu yang memartabatkan bunyi serta sastera Melayu klasik, monoloQue terus berkarya dalam single perdana mereka tahun ini “Langgar Lari – Dari Seberang” yang sudah beredar di semua gedung muzik digital 22 Mac lalu.
Setelah tampil single duet bersama “NJWA” menerusi single “Chinta” tahun lalu dengan ilham susunan muzik dengan penggunaan instrumen Gamelan yang turut tampil dengan ilham muzik video yang cukup tinggi nilai estetika visualnya. “Langgar Lari” meneruskan ilham memperkasakan bahasa Melayu klasik menerusi penulisan lirknya.
Lagu ini disimpan loQue sejak tahun 2006 adalah satu eksperimen tentang penggayaan Bahasa Malaysia dalam penulisan lirik selepas keajaiban album Selamat Tinggal Dunia (keluaran tahun 2005), album penuh Bahasa Malaysia oleh Butterfingers. yang menjadi batu loncatan loQue mengasah ketajaman kosa kata dan ayat Bahasa Malaysia.
“Bila dua atau tiga instrumen dimainkan bersama, gelombong-gelombang bunyi bertemu, tenaga menjadi satu, inilah keajaiban bunyi yang tercipta bila semua ada bersama dan tak mungkin boleh terjadi jika hanya dirakam instrumen satu-persatu.” Kongsi loQue yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang lagu tema terbaik dengan Atma Jiwa (Filem: Buskers) di Festival Filem Malaysia ke 30.
Berada di Jakarta, Indonesia untuk sesi rakaman, menyuntik inspirasi pada loQue dan teman di mana semangat nasionalisme dan memartabatkan budaya amat tinggi di kalangan muda mudi mereka. Ini dilihat bukan hanya daripada hasil seni yang dihasilkan tetapi juga bagaimana masyakat hargai karya-karya tempatan dan bangga dengan hasil anak bangsa. Alangkah bagus jika ini dapat diterjemahkan dalam penghargaan muda mudi pada muzik kita pasca Malaysia baru.
Dalam agenda lainnya, loQue kini sedang dalam proses menyiapkan projek “Makmal Kampung Batu” yang akan beroperasi sepenuhnya dalam bulan April 2019 dan uji kaji bunyi-bunyian album ketiga monoloQue akan mula tidak lama lagi.