
Lagu: Masihkah Ada Rasa Itu?
Artis: Misha Omar
Komposer / Lirik: Sharon Paul / Que Afiq
Menantikan lagu-lagu terbaru alunan Misha Omar saya kira benar-benar harus menuntut kesabaran kerana dia sangat jarang menghasilkan lagu-lagu baru. Mungkin kerana selektif dan hanya mahukan yang terbaik, setiap karya yang dihasilkan biar masih berlegar ilham Balada tetap memiliki kekuatan dan momen yang tersendiri.
Terakhir kali muncul dengan “Tanpa Rela” pada tahun 2020 dengan penuh kesyahduan, tahun ini Misha Omar kembali mengulang kesyahduan yang kita tunggu dalam sebuah lagi karya ciptaan Sharon Paul bersama Que Afiq menerusi lagu “Masihkah Ada Rasa Itu?”.
Dihasilkan dalam persembahan melodi yang sederhana namun cukup mengikat dengan sekali pendengaran. Sakti pada lagu ini sekali lagi bernadi pada persembahan vokal cukup beremosi Misha yang menyatukan melodi, lirik dan kemasan muziknya dengan sempurna.
“Masihkah Ada Rasa Itu?” memiliki feel Indo Ballad pada penghasilan keseluruhannya. Berbeza sedikit dengan apa yang biasa kita nikmati dalam karya-karya Sharon Paul sebelum ini, lagu ini lebih tenang dalam ribut dan resahnya.
Kekuatan utama lagu ini ada pada korusnya. Misha dalam kesederhanaannya bercerita lewat melodi yang dihasilkan dengan telus dan cukup. “Meski hati ini masih mengharapkan kamu hadir // Kembali dan meluah apa yang terjadi.”
Lirik yang dihasilkan simple, biar tidak tidak sekuat “Tanpa Rela” yang saya kira cukup kemas dan puitis susunan kata dan ceritanya. Tetapi hasil keseluruhan masih okey dengan persoalan “Masihkah Ada Rasa Itu?” yang jelas menggerakkan jalan ceritanya.
Dan persoalan-persoalan dalam lirik yang ditulis berterusan dengan baik di bait “Mungkinkah dikau bahagia? // Adakah bersama dia engkau bahagia?” yang saya kira tidak sukar untuk ramai jiwa-jiwa galau di luar sana untuk relate.
Kesederhanaan yang ada pada penghasilan lagu ini menjadikan ia tersendiri. Tanpa perlu menjadi terlalu kompleks dengan momentum turun naik yang kedengaran terburu-buru, ia dihasilkan sepenuh emosi yang terkawal. Dan sejujurnya sebeginilah Balada harus dihasilkan tanpa perlu kedengaran berteriak dan merintih-rintih.
8/10
ARTIKEL BERKAITAN