
Kembali ke era pertengahan 90-an, di mana lambakan penyanyi Balada tumbuh (dengan kualiti) satu per satu daripada bumbung serupa, Suria Records memperkenalkan kita dengan nama-nama seperti Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Anis Suraya dan way before nama-nama ini popular, formula Balada meruntun jiwa ini bermula dengan penyanyi bernama Mazleela.
Mengukir satu fakta menarik ketika itu, usaha Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dalam menyambung legasi Balada Fauziah Latiff mix Noraniza Idris menghasilkan seorang penyanyi wanita bernama Mazleela dengan album perdana berjudul “Deraan Kasih” (1995).
Lagu-lagu seperti Cinta Apakah Nama & Edisi Lagu Rindu yang kedua-duanya ciptaan Pak Ngah menghembuskan feel 80’s revival yang pernah dibawa Noraniza Idris di awal karier muziknya sebagai penyanyi saduran.
Konsep muzik Mazlela sedikit berubah lebih Balada ala Fauziah Latiff dengan sentuhan Adnan Abu Hassan di album keduanya “Prasangka Yang Berakhir” (1996) yang menampilkan 4 daripada 10 lagunya ciptaan Adnan sendiri.
Kalau diikutkan dengan percaturan yang betul di saat itu, Mazlela sudah cukup siap untuk benar-benar popular. Radio begitu menyambut baik single “Prasangka Yang Berakhir” kiranya masa tu, heavy rotation jugalah.
Namun timing-nya kurang tepat untuk dia mengekalkan perhatian kerana pada tahun serupa Siti Nurhaliza sudah lebih bersiap untuk mendapatkan segala limelight dengan bakat luar biasanya.
Mendengar kembali album “Deraan Kasih” Mazleela sebetulnya meneruskan pasaran muzik Balada yang pada ketika itu mungkin dilabel sebagai muzik “kampung” – Antaranya jika anda ingat Melati (Bila Hatiku Rindu), Siti Fairuz (Bila Kurindu Ku Sebut Namamu), Tushee (Di Sebalik Janji), Shereen (Rahsia Cinta) dan mungkin lebih awal lagu-lagu Ahmad Nawab buat Ramlah Ram khususnya.
Balada Maz berubah sedikit bercitarasa dengan feel yang lebih baik, solid dan tidak terlalu mendayu di tangan Adnan Abu Hassan. Beberapa lagu ciptaan Adnan seperti Prasangka Yang Berakhir, Hanya Singgahan Memori, Mudahnya Kau Berubah dan Apakah Salahku antara yang dicipta mengikut lembut merdu penyampaian Maz.
Berbanding lagu-lagu seperti Deraan Kasih (To’ki) dan Sepi (Omar Taib) yang terlalu mellow dan yang easily mengundang skip saya kira Adnan Abu Hassan produser yang sangat bijak dalam mencari soft spot dalam penyampaian Mazleela supaya dia tidak terlalu merintih tetapi lebih kepada bercerita akan perasaan yang betul dalam lagu yang disampaikan.

“Diam Tak Bererti Membisu” album ketiga Maz diterbitkan di tahun 1998 dengan hits ciptaan Azmeer tersebut berjaya mengekalkan nama Maz dalam radar muzik radio ketika itu.
Trend album saduran di era 90-an yang diaktifkan SRC untuk artis rakaman mereka 2BY2 mengilhamkan syarikat rakaman tersebut membikin sebuah projek serupa buat Maz menerusi album studio terakhirnya berjudul “Anggun” yang beredar di tahun 2000 tapi silapnya SRC percaturan mereka tidak mengena.
Entah mungkin kerana fokus terhadap Siti dan Liza Hanim yang begitu disukai ketika itu membuatkan nama Maz sekadar mengisi katalog porfolio syarikat tersebut. Dan pada masa yang sama muncul pula Anis Suraya yang datang penuh pesona dalam gemersik suaranya.
Langsung menenggelamkan terus kewujudan “Anggun” yang dibikin dengan banyak rugi berbanding untungnya buat perjalanan karier Maz sebagai penyanyi ketika itu.
Meneliti keseluruhan lagu-lagu di albumnya, Maz tidak sekadar berkemampuan menyampaikan Balada ada pilihan Pop sebetulnya yang mid-tempo tapi entahlah bagai ada yang tak kena mendengar Maz menyampaikan lagu-lagu begitu.
Di penutup kembara kariernya yang bertahan kurang lebih 5-6 tahun, Maz meninggalkan kita semua dengan sebuah lagu yang saya kira dia sendiri tidak menjangka mampu menjadi hits
Lagu berjudul “Tabah” dimuatkan dalam album kompilasi The Best of Mazleela yang diedarkan SRC pada tahun 2002. Ketika itu saya kira kontrak rakaman Maz pun sudah bernokhtah dan setelah itu tiada rasanya perkhabaran dia menandatangani mana-mana kontrak rakaman.
Namun impaknya lagu tersebut sehingga hari ini masih menjadi pilihan DJ Lin Suria Cinta malah tidak pernah lekang dilaung penuh hiba di pusat-pusat karaoke RedBox.
“Tabah” hasil ciptaan Eddie Hamid menjadi satu-satunya lagu Maz dengan jumlah strim mencecah lebih 50 Ribu kali di Spotify. Yang lainnya hanya sekadar seribu lebih dan kurang. Dan sejujurnya “Tabah” satu-satunya (mungkin) Balada Eddie Hamid yang saya senang mendengarkannya. Mungkin juga kerana penyampaian jujur Maz dalam lagu ini.
Mazleela hilang dalam radar pasaran muzik lokal tidak hanya kerana persaingan kuat di bumbung SRC sahaja, sebuah lagi syarikat rakaman iaitu FMC turut aktif melahirkan nama baru seperti Siti Nordiana, Syura dan Elyana yang turut menjadi faktor sepinya bakat ini.
Namun saya kira dalam kitaran muzik generasi baru selepas Fauziah Latiff dan Ziana Zain tidak salah jika saya letakkan nama Mazleela sebagai terawal Adnan Abu Hassan zahirkan bagi membangkitkan ilham Balada begini.
Sepanjang berkarier Mazleela tidak lagi kiranya sempat ke final Juara Lagu jauh sekali menjadi pilihan juri profesional untuk menamakannya sebagai calon Vokal Wanita Terbaik Dalam Album di Anugerah Industri Muzik (AIM). Namun Maz saya kira punya satu momen dan soft spot di kalangan pengikut muzik era 90-an khususnya.
Maz jika bernafas di pasaran muzik hari ini saya kira tidak susah untuk mendapatkan 1 Juta view di YouTube atau strim yang tinggi di Spotify dan saya percaya jika lagu “Tabah” itu dirilis setahun dua kebelakangan ini ia akan jadi fenomena dan booming sekali.
Namun di penghujung 90-an A&R label dan orang radio lebih selektif untuk mengenengahkan sesuatu yang lebih serius dan berevolusi dalam muzik. Saat itu semua sudah siap dengan Balada yang lebih berkelas seperti Selamanya (Innuendo), Ku Mohon (Sheila Majid), Percayalah (Siti Nurhaliza), Aku Cinta Aku Rindu (Ajai & Nurul), Akhirnya (Camelia), Naluri (Nora) dan Musim Berlalu (Anuar Zain) membuatkan nama Maz perlahan tenggelam diam dan terus membisu sehinggalah hari ini. (Badi lagu Azmeer barangkali #jk)